Khamis, 2010 Januari 28

One Tanjung Sdn Bhd, Ulu Yam, Selangor



Deretan rumah cendawan pertama



Pekerja sedang sibuk..



Gambar tapak bakal 2 deretan rumah cendawan yang akan dibina. Yang berkemeja biru adalah En Nor Amli Madros.


Ini adalah Projek Ladang Kontrak Cima Agro Sdn Bhd yang terletak di daerah Ulu Yam. Ketua Projek/Operasi adalah Encik Nor Amli Bin Madros. Melibatkan 10 peserta dengan 10 buah rumah setiap satu berkeluasan 30' x 40'. Saya datang membuat field consultation saya sebelum rumah siap. Ada beberapa perkara yang telah saya cadangkan dan ia terus diambil tindakan serta merta. Saya yakin jika sikap begini berterusan, projek ini InsyaAllah berjaya.

Oleh kerana ladang ini di kelilingi oleh Ladang durian, saya dan pegawai saya di hidangkan dengan durian fresh baru turun pokok. Kami makan hingga tak mau makan durian dah lagi! Rambutan pun ada.. Nampaknya kalau musim durian, rajinlah saya buat field visit kesini. Hehe..

Untuk pengetahuan, rancangan jangka panjang antara Cima Agro Sdn Bhd dan One Tanjung Sdn Bhd adalah untuk membina kilang memproses hasil cendawan yang juga akan memanfaatkan pengusaha di bahagian ulu yam dan sekitarnya. Cadangan perlaksanaannya adalah dalam tahun ini tetapi segalanya terserah pada ketentuan, InsyaAllah.

Jumaat, 2010 Januari 22

TV3 di Cima Agro


Saya staf saya dan 2 pengacara TV3.


Adegan di dapur..


Salah seorang pelajar praktikal saya yang juga peminat Aidit

Selamat Datang Tahun 2010! Agak terlambat untuk saya ucapkan selamat datang kerana terlalu sibuk. Alhamdulillah dan dipanjatkan syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana limpah kurnianya yang tak putus-putus kepada saya. Saya dihubungi untuk penggambaran TV3 baru-baru ini untuk siaran hari Ahad jam 8.00 - 8.30 paginya. Acara berlangsung di dapur Cima Agro untuk menggoreng cendawan goreng sejuk beku saya. Pengacara TV3 terkenal - Aidit, mengacarakan rancangan tersebut bersama sheeda didapur saya. Mereka bermurah hati hingga memasukkan slot mempromosikan end produk saya tersebut.

Selamat Tahun Baru pada semua pengusaha cendawan, semoga kita sama2 dimurahkan rezeki. Amiin..

Selasa, 2010 Januari 05

Sembang Penyakit 2 : Persekitaran Rumah Cendawan

Bila kita buat keputusan membina rumah di ladang kelapa sawit contohnya, kita perlu akur yang pohon kelapa sawit ini mengeluarkan debunga jantan dan debunga betina. Debunga yang akan menimbulkan sedikit gangguan pada tanaman kita adalah debunga jantan. Ia boleh dilihat dengan alat bantuan melihat zarah mikrosopik dengan banyaknya berterbangan ketika angin bertiup hingga dahan bergoyang. Debunga inilah yang membuat beg media kita berhabuk jika kita mengusap plastik beg media kita yang terdedah (tidak dihimpit oleh beg lain) di rumah cendawan. Sekarang anda tahu kenapa beg anda berhabuk walau berada di dalam ladang kelapa sawit yang jauh dari jalan raya atau pencemaran bandar? Ya, kalau ladang kelapa sawit masalahnya itu, kalau ladang getah, masalahnya lain.. Apa pun banyak boleh dipelajari jika kita memerhatikan alam ciptaan Allah ini dan memahami persekitaran rumah cendawan kita seterusnya menghasilkan penyelesaiannya mengikut keadaan semulajadi..

Jumaat, 2009 Disember 04

Sembang Penyakit 1: Kurang Bercakap, Kurang Penyakit

Mulut manusia mempunyai sekurang-kurangnya 700 jenis bakteria jahat. Sebab itu kita disunatkan berkumur-kumur sebelum mengambil wudhuk. Sebab itu seseorang yang kurang bercakap dia juga akan kurang berdosa. (mengumpat, mengutuk, memfitnah). Ia boleh disebarkan melalui percakapan, menguap, bersin, batuk dll.

Apakan kaitannya fakta ini dengan tanaman cendawan? Bila kita dah tau fakta ini maka janganlah petik cendawan sambil membebel, bergurau dan sebagainya. Kerana bakteria ini akan berpindah ke beg kompos yang baru cedera maisiliumnya kerana kita telah mencabut akarnya berpisah dari begnya itu. Beg yang baru dipetik ini berkeadaan 'fragile'. Senang sakit kerana berkeadaan lemah. Jika petikan pertama anda cantik, petikan kedua dan seterusnya beg rosak maka mungkin ini adalah salah satu sebabnya. Jika anda masuk ke bilik makmal anda perlu pakai mask bukan? Makmal lebih sensitif, bakteria dari hembusan keluar udara dari hidung juga perlu di elakkan daripada menjadi sebab kebarangkalian perpindahan. Udara hembusan dari hidung mengandungi CO2, air dan bakteria antara lainnya. Semoga ceria selalu dan kita berjumpa lagi ke Tips Penyakit 2 bulan depan..

Khamis, 2009 November 19

Peluang Berniaga Di Pasar Tani Mega Shah Alam dan Kelana Jaya

Pernah pergi ke Pasar Tani Stadium Shah Alam dan Kelana Jaya? 2 Pasar Tani ini sudah lama mendapat taraf Pasar Tani Mega. Kedua-duanya mempunyai pelanggan dengan kuasa beli yang tinggi. Memang menarik untuk memasarkan apa produk sekali pun tapi untuk mendapat tapak di sini, kemungkinan untuk mendapatkannya adalah sangat tipis atau hampir mustahil.

Cima Agro ingin menawarkan kepada mana-mana pengusaha cendawan yang berada di sekitar Lembah Kelang yang berminat untuk menyewa mana-mana satu tapak atau kedua-dua tapak tersebut dari kami bagi menjual produk cendawan dari ladang mereka, sila hubungi pejabat di 0332600211 untuk keterangan lanjut.

Syarat dan Terma :

1. Tinggal di sekitar Lembah Kelang
2. Mempunyai Van/Lori
3. Produk yang dibenarkan untuk dijual adalah cendawan segar dan produk cendawan goreng
4. Mematuhi syarat-syarat dari pihak pengurusan Pasar Tani seperti penggunaan uniform, payung pasar tani dan sebagainya.
5. Menandatangani kontrak persetujuan dengan Cima Agro

Jika anda berminat tetapi kurang yakin samada hasil ladang anda kurang mencukupi untuk menampung permintaan disini, kami sedia membantu.


ANDA ADA MASAALAH PASARAN??

Sekarang musim hujan. Semalam hujan, hari ni mendung, besok hujan... itulah kalau di Selangor. Tempat lain saya kurang pasti. Mungkin lebih kurang sama kot? Semalam saya membeli 200kg cendawan segar dari sebuah syarikat pengeluar cendawan yang besar dan hari ini saya membeli 300kg lagi dari syarikat yang sama. Urusan jual beli untuk minggu ini bermula bila pengurus beliau yang menghubungi pejabat saya menyatakan bahawa mereka mempunyai lebihan. Memang waktu selalu hujan seperti sekarang ini cendawan agak banyak dari biasa bagi mana-mana pengusaha cendawan. Saya selalu dihubungi oleh 2-3 pengusaha besar ini jika mereka mempunyai lebihan.

Mungkin ada pengusaha baru yang tidak tahu bahawa saya juga membeli hasil dari yang bukan Kontrak Farmer saya. Disini saya ingin mewar-warkan tentang perkara ini sekiranya rakan-rakan pengusaha diluar sana yang mempunyai masalah lebihan hasil, bolehlah menghubungi pejabat saya di 03-32600211.

Terma dan syarat jual beli saya adalah :

1. Cendawan masih dalam keadaan elok/segar
2. Harga RM5.00
3. Packing 1-2kg satu plastik
4. Tidak menggunakan sebarang additive tidak organik
5. Penghantaran terus ke Cima Agro atau kami boleh mengambil di mana-mana bahagian lembah kelang

Memang pasaran di luar adalah lebih mahal dari harga beli saya dan saya galakkan sesiapa saja menjualnya di luar sana kerana margin keuntungan yang tinggi. Namun ada harinya pasaran tersebut tidak boleh menyerap semua hasil keluaran ladang kita sehingga terjadinya lebihan satu-satu hari tersebut. Maka, disinilah peranan saya untuk membantu pengusaha. Maka, jangan segan untuk menghubungi kami pada bila-bila masa waktu pejabat. Tawaran ini saya buka hingga bulan March 2009! Terbuka kepada semua pengusaha kecuali Kontrak Farmer Cima Agro (Harga beli Kontrak Farmer Cima Agro adalah RM5.50 tanpa had tarikh)


Selamat Maju Jaya..



PERTANIAN ANDALAH PERNIAGAAN!!..

Rabu, 2009 November 18

Anda Ada Masaalah Pasaran?

Sekarang musim hujan. Semalam hujan, hari ni mendung, besok hujan... itulah kalau di Selangor. Tempat lain saya kurang pasti. Mungkin lebih kurang sama kot? Semalam saya membeli 200kg cendawan segar dari sebuah syarikat pengeluar cendawan yang besar dan hari ini saya membeli 300kg lagi dari syarikat yang sama. Urusan jual beli untuk minggu ini bermula bila pengurus beliau yang menghubungi pejabat saya menyatakan bahawa mereka mempunyai lebihan. Memang waktu selalu hujan seperti sekarang ini cendawan agak banyak dari biasa bagi mana-mana pengusaha cendawan. Saya selalu dihubungi oleh 2-3 pengusaha besar ini jika mereka mempunyai lebihan.

Mungkin ada pengusaha baru yang tidak tahu bahawa saya juga membeli hasil dari yang bukan Kontrak Farmer saya. Disini saya ingin mewar-warkan tentang perkara ini sekiranya rakan-rakan pengusaha diluar sana yang mempunyai masalah lebihan hasil, bolehlah menghubungi pejabat saya di 03-32600211.

Terma dan syarat jual beli saya adalah :

1. Cendawan masih dalam keadaan elok/segar
2. Harga RM5.00
3. Packing 1-2kg satu plastik
4. Tidak menggunakan sebarang additive tidak organik
5. Penghantaran terus ke Cima Agro atau kami boleh mengambil di mana-mana bahagian lembah kelang

Memang pasaran di luar adalah lebih mahal dari harga beli saya dan saya galakkan sesiapa saja menjualnya di luar sana kerana margin keuntungan yang tinggi. Namun ada harinya pasaran tersebut tidak boleh menyerap semua hasil keluaran ladang kita sehingga terjadinya lebihan satu-satu hari tersebut. Maka, disinilah peranan saya untuk membantu pengusaha. Maka, jangan segan untuk menghubungi kami pada bila-bila masa waktu pejabat. Tawaran ini saya buka hingga bulan March 2009! Terbuka kepada semua pengusaha kecuali Kontrak Farmer Cima Agro (Harga beli Kontrak Farmer Cima Agro adalah RM5.50 tanpa had tarikh)


Selamat Maju Jaya..

Rabu, 2009 November 11

Majlis Perpisahan

Hari Selasa lepas saya menghadiri Majlis Perpisahan Pengurus Agro Bank Tanjong Karang, Tuan Haji Samsuddin Atan yang akan bertukar memegang jawatan yang sama di Agro Bank Cawangan Muar. Majlis berlangsung di Hotel De Palma dan dihadiri oleh Pengurus Bank Negeri yang berpusat di Shah Alam, En Amri.

Saya gembira bercampur sedih kerana menjadi salah seorang yang di jemput oleh pihak Bank dalam sambutan yang diluar dugaan mengikut kata yang diraikan, Tuan Haji Samsuddin. Apa tidaknya, kerana beliaulah yang datang berjumpa saya dan menawarkan pinjaman yang agak tinggi nilainya kepada saya. Dan beliau datang selepas sahaja PNB (Permodalan Nasional Berhad) hadir untuk menawarkan kerjasama dengan Cima menjadi rakan kongsi.

Setelah menimbang dengan semasak-masaknya, saya menerima tawaran Agro Bank yang diajukan oleh Tuan Haji Samsuddin dan menangguh pengambilan rakan kongsi untuk suntikan modal kerana sebab-sebab tertentu. Ini saya putuskan kerana berfikir jika ada rakan kongsi kita kena beringat yang perniagaan yang kita jalankan tidak akan sama seperti sebelumnya. Ada banyak baiknya mempunyai rakan kongsi tetapi buat masa ni kalau sekecil-kecil Cima Agro ni, ia milik saya sepenuhnya dan tidak berkongsi milik dengan yang lain. Pinjaman baru ini adalah dari dana 3F dengan kadar faedah purata 2% setahun. Menarik bukan? Boleh pinjam untuk masuk ASB atau dana lain (yang islamik) yang bagi pulangan lebih tinggi. Ini yang orang kata buat duit atas duit tu. Hehe..

Tentang memutuskan tidak mengambil rakan kongsi sekarang, saya boleh berkata begitu buat masa ini, tetapi masa depan saya tidak menghalang kemungkinannya. Kalau bukan ia berlaku pada era saya, mungkin ia berlaku ketika era anak saya pula. Saya banyak melihat perniagaan yang dijalankan oleh orang-orang seperti saya yang menjalankannya secara konservatif dan tradisional tetapi bila anak mereka mengambil alih, ia berkembang dengan lebih pesat kerana anak lebih terbuka.

Kepada Tuan Haji, terima kasih atas segala bantuan. Semoga tidak melupai kami di Kuala Selangor dan Selamat Bertugas di Muar..

Selasa, 2009 Oktober 13

Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Cima Agro

Minggu lepas, saya menerima satu email dari pihak Permodalan Nasional Berhad (PNB) menyatakan bahawa pihak mereka ingin membuat temujanji dangan saya. Serta merta, saya rasa email tersebut tersalah hantar! Siapalah yang tidak kenal PNB yang mempunyai kepentingan saham dalam banyak syarikat-syarikat gergasi seperti Sime Darby, Maybank Berhad, Island & Peninsula dan banyak lagi syarikat2 besar yang tersenarai di papan utama Bursa Saham Kuala Lumpur. Jauh benar untuk saya fikir kenapa mereka berminat untuk bertemu dengan saya sebagai pemilik Cima Agro. Lebih-lebih lagi perjumpaan yang akan diadakan nanti adalah dengan Ketua Jabatan Pembangunan Perniagaan, Encik Zamani Abdullah bersama Encik Badrul Azmi Jamaluddin dari jabatan yang sama. Setelah berbalas email, tahulah saya mereka memang bermaksud untuk berjumpa dengan saya. Pada pagi ini, 13 Oktober 2009 berjumpalah saya dengan mereka yang datang tepat pada waktu yang telah dijanjikan.

Perbincangan dimulakan dengan Encik Zamani menerangkan siapa dan apa PNB serta strategy PNB kini untuk meneroka peluang yang ada dalam bidang pertanian dan makanan. Mereka kini sedang mencari syarikat yang mahukan PNB sebagai rakan kongsi untuk suntikan modal dalam membesarkan perniagaan. Alhamdulillah segala puji hanya pada Allah saya ucapkan kerana peluang tersebut diajukan pada Cima Agro. PNB menyatakan cara untuk saya mendapatkan bantuan kewangan ada 2 iaitu melalui pinjaman bank atau mendapatkan PNB sebagai rakan kongsi dimana sebahagian saham Cima Agro di jual kepada mereka.

Terima kasih sekali lagi saya ucapkan pada Encik Zamani dan Encik Badrul kerana peluang yang diberikan dan kerana sudi datang ke CIMA Agro.


Perkongsian Misi dan Visi Cima Agro, kedudukan dan pengalaman syarikat, pasaran dan potensi pasaran serta strategi pemasaran Cima Agro berjalan selama hampir 2 jam di pejabat.



Lawatan ke ladang cendawan dan kemudian tempat proses serta penyimpanan cendawan goreng beku Cima Agro. Sambil bergurau, Encik Zamani menyatakan bahagian bahagian yang saya perlu perbaiki dengan suntikan dana dari PNB sebagai rakan kongsi.

Khamis, 2009 Julai 16

Jawatankuasa Khas Projek Mentor-Mentee Tanaman Cendawan

Pada 16 Julai baru-baru ini, satu mesyuarat pertama Biro Pertanian Negeri Selangor telah diadakan di Wisma Tani Putrajaya. Semua Pengarah dan Ketua dari Agensi Kerajaan dalam negeri Selangor telah hadir. Dalam mesyuarat pertama ini penerangan tentang 'blueprint' projek yang akan dilaksanakan telah pun di berikan. Cima Agro telah dipilih sebagai Jawatankuasa Tetap untuk Projek Mentor-Mentee tanaman cendawan di bawah Biro Pertanian ini. Ini merupakan satu tanggungjawab yang besar bagi saya kerana ianya akan melibatkan ramai peserta jika perlaksaannya berjalan seperti yang dirancangkan. Agak terbatas juga rasanya untuk membuat dan mengambil semua peluang yang diajukan kepada saya sejak kebelakangan ini menyebabkan saya terpaksa menolak beberapa projek tertentu untuk menjadi lebih fokus kepada yang lebih utama. Alhamdulillah peluang bukan sedikit dalam bidang pertanian ini. Namun sebagai seorang wanita yang sudah berkeluarga, segala aspek perlu dipertimbangkan dengan teliti.

Mesyuarat Projek Khas ini akan diadakan 2 bulan sekali dan Pengarah dari semua Agensi Kerajaan dalam negeri Selangor diwajibkan hadir untuk memastikan kelancarannya.

Dibawah adalah gambar ketika mesyuarat sedang dijalankan. Dari sebelah kanan saya adalah Pengarah Mardi Negeri Selangor, Dr Zainal Abidin Hassan, Pengarah Agro Bank Selangor, En. Amri dan Pengarah Fama Selangor. Di sebelah kiri saya Penolong Pengarah (Industri Asas Tani) Cik Rozilawati Azman. Yang hadir adalah hampir 45 orang kesemuanya.

Ahad, 2009 Jun 14

Majlis Tandatangan MOU antara Koperasi Serbaguna Selayang dan CIMA Agro


Pada 14 Jun 2009 baru baru ini Majlis Tandatangan MOU antara Koperasi Serbaguna Selayang dengan CIMA Agro telah berlangsung di Hotel Presscott Inn di Jalan Medan Tuanku, Kuala Lumpur. Projek yang akan menelan belanja RM1 juta akan dijalankan di Jaya Bestari, Kuala Selangor.

Dato Ahmad Bahari, Pengerusi Koperasi Selayang menandatangani perjanjian bagi pihak koperasi dan saya pula bagi pihak Cima Agro Sdn Bhd sambil di perhatikan oleh Penolong Pengarah Suruhan Jaya Koperasi Malaysia, Encik Md Yusof dan ahli lembaga pengarah dan kehormat lain.

Jumaat, 2009 Mei 01

ISU CENDAWAN DI KEMENTERIAN













Gambar bersama Mr Chew, CnC Mushrooms bersama Mr Song, Vita Agrotech Mdm Cheng Suami Isteri dan saya sendiri.






















Pada 28 April yang lepas, satu perjumpaan dengan Kementerian Pertanian Malaysia telah diadakan di Wisma Tani Putrajaya bagi membincangkan banyak perkara tentang isu dan masaalah tanaman makanan kekal. Perjumpaan ini di pengerusikan oleh Y. Bhg. Dato' Mokhtar Bin Ismail, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Pengusaha tanaman makanan telah di jemput untuk perbincangan dengan kementerian tentang masalah semasa. Pengusaha cendawan yang dijemput hadir adalah Mr Chew dari CnC Mushrooms, Mdm Cheng dari Vita Agrotech, Dr Shirley Ooi pengusaha cendawan shitake dan saya sendiri dari Cima Agro. Kami berempat merupakan kumpulan minoriti kalau hendak dibandingkan dengan ketua ketua persatuan yang datang dari berbagai negeri seluruh Malaysia. Namun, yang melucukan, suara yang hanya 4 pengusaha cendawan ini lebih banyak dan lantang menyuarakan isu berbanding yang lain. Saya duduk bersebelahan dengan Mr Chew dari CnC, maka kami telah berbincang sebelum mengutarakan isu penanaman cendawan di Malaysia. Mungkin kerana kami datang dengan persiapan tentang isu menyebabkan ianya lebih diperbincangkan. Antara isu yang saya sendiri utarakan..

1) 1-2 buah pusat pemprosesan tandan/batang kelapa sawit diwujudkan di negeri yang bertaburan tinggi pengusaha cendawan tetapi kekurangan habuk kayu getah.

2) Mencadangkan pengusaha yang memproses beg media yang menggunakan 1-2 mesin di kategorikan sebagai ’ Manufacturing dan Agriculture’. Maka untuk ’manufacturing’ ia perlu di daftarkan di bawah MIDA.

3) Sijil SALM dan SOM, dan beberapa perkara lain lagi.

Diharap apa yang saya, Mr Chew dan Mdm Cheng utarakan adalah juga untuk kebaikan semua pengusaha cendawan dalam menangani isu-isu yang kita hadapi dalam industri ini.

Di sesi setengah hari ini juga saya sempat berbincang dengan Mr Chew tentang pembungkusan cendawan Crisps beliau. Memang semua sudah tahu bahawa beliau menggunakan pembungkusan ’aluminium standing pouch’ dengan 4 perisa berlainan. Oleh kerana dana Cima Agro yang terbatas, (maklumlah, itu nak buat, ini pun nak buat) saya hanya akan mengeluarkan satu perisa sahaja dan InsyaAllah saya cuba untuk mengeluarkannya hujung tahun ini. Ia tidak boleh di lancarkan pada pertengahan tahun ini seperti yang telah saya rancangkan kerana masalah pembelian mesin pembungkusan.

Saya juga ingin menyatakan agak ralat kerana tidak dapat hadir ke Mesyuarat MAM baru-baru ini. Agak membanggakan kerana apa yang saya tahu adalah perjumpaan kali ini lebih meriah kerana ramai yang sudah menjadi ahli persatuan dan hadir berikutan ’exposure’ yang diberikan melalui internet oleh pelbagai pihak. Tahniah kepada Encik Nabil dari Nas Agro dan Puan Zainon dari Genting Permai Resources kerana telah dilantik memegang jawatan penting dalam persatuan. Tentang perlantikkan ini saya di maklumkan melalui telefon oleh Mr Song dari CnC Mushroom, wakil CnC yang hadir dalam mesyuarat tersebut. Beliau menghubungi saya sebelum kami berjumpa di Putrajaya keesokkan harinya. Kepada 2 pengusaha ini saya ucapkan tahniah dan harapan saya semoga berjaya membawa persatuan ini ke dimensi baru untuk kebaikkan semua.

Isnin, 2009 April 13

KURSUS TANAMAN CENDAWAN BERSAMA SURUHANJAYA KOPERASI MALAYSIA
























Alhamdulillah.. kursus tertutup saya, 4 hari 3 malam di Hotel De Palma, Kuala Selangor bersama-sama koperator-koperator dalam perusahaan cendawan seramai 54 orang telah pun selesai hari Jumaat lepas. Peserta peserta adalah mereka yang datang dari berbagai koperasi di seluruh pelusuk Malaysia.. Saya sebagai penceramah sangat teruja melihat semangat dan kesungguhan mereka dalam menimba ilmu. Yang bagusnya kursus ini disertai dengan bengkel dan persembahan hasil dari bengkel tersebut. Mereka di kehendaki menyiapkan tugasan merancang projek kelompok mereka dan membuat persembahan keesokan harinya. Ada kumpulan yang tak tidur hingga 3 pagi untuk menyiapkan persembahan projek mereka di hadapan pihak pengurusan SKM dan saya. Memang hebat kerana kesemua kumpulan memberikan persembahan yang dirancang atur.

Untuk pengetahuan, saya di beritahu bahawa yang mendaftar untuk kursus ini melebihi dari 100 orang. Ramai yang terpaksa ditolak kerana penyertaan yang sudah terlalu ramai. Memang inilah kursus yang paling ramai pesertanya bagi saya. Pada mulanya saya hanya membuka 25 orang sahaja. Atas permintaan Suruhanjaya Koperasi Malaysia untuk menambah peserta ke 50 orang, ia telah menjadi seramai yang ada tersebut.

Saya ingin bercerita sedikit tentang Suruhanjaya Koperasi Malaysia. Tak Kenal Maka Tak Cinta.. Rupanya pertubuhan koperasi ini adalah satu perkara lama. Ia boleh dimanfaatkan untuk mengumpul dana dengan menjual saham kepada yang berminat menjadi ahli. Selain daripada itu ada geran dari kerajaan yang dikhaskan untuk koperasi yang boleh dimanfaatkan untuk memajukan projek yang berdaya saing. Jika satu koperasi itu mendapat untung, keuntungan tersebut akan di bahagikan kepada ahli dalam bentuk saham. Tapi jika rugi? Maka perlulah berhati-hati sebelum memilih projek yang akan dijalankan.

Ada berbagai jenis koperasi dan salah satu yang menarik perhatian saya untuk dikongsikan pada pelawat blog saya pada kali ini ialah tentang koperasi keluarga. Saya tertarik dengan koperasi ini adalah kerana ia sangat praktikal dan bermanfaat. Ia juga sebagai pertubuhan yang mengeratkan hubungan kekeluargaan dan mengelakkan dari masalah antara adik beradik berebut harta pusaka terutama jika harta yang ditinggalkan itu berbentuk tanah. Bayangkan jika ada 7 orang adik beradik dan tanah pusaka cuma ada 1 ekar untuk di agih-agihkan. Kalau diagih tak tahulah seorang dapat berapa luasnya dan lepas agihan, tak taulah masing-masing nak usahakan apa. Akhirnya jadilah tanah terbiar. Kalaulah 7 adik beradik ini menubuhkan koperasi dan kerjakan tanah tersebut secara teratur contohnya dengan mengerjakan tanaman cendawan, ia akan jadi lebih berdaya maju.

Walaupun dalam kursus ini saya di panggil 'Tok Guru' tapi sebenarnya saya juga pelajar yang banyak belajar berbagai perkara baru terutama tentang alam berkoperasi yang saya tidak pernah kenal dulu. Saya harap ahli koperator yang menghadirkan diri dalam kursus saya tidak terputus hubungan selepas habis kursus. Saya berharap ia akan berterusan terutama mereka yang akan meneruskan projek ini dan menjadi Contract Farmer saya. Saya ucapkan Selamat Maju Jaya kepada semua!!

Isnin, 2009 Mac 23

Simposium Usahawan Bumiputera MIDF 2009



Dato' Seri Najib Tun Razak sedang menyampaikan ucapan.


FAKTA kegawatan ekonomi tahun 2008/2009

ADOLF MERCKLE - Orang ke 94 terkaya di dunia dengan nilai kekayaan USD 9.4b membunuh diri dengan terjun di hadapan gerabak keretapi bergerak kerana berhutang USD 6.7b.

THIERRY MAGON Fund Manager _ Membunuh diri di rumah kerana tekanan akibat rugi duit pelanggan melabur dengan Bernard Madoff

KIRK STEPHENSON - Pengasas Syarikat Pelaburan Olivant Ltd Bunuh diri dengan terjun di hadapan keretapi bergerak kerana akibat saham menjunam

KEITH LELONG bekas pekerja IBM bunuh diri, isteri dan 2 anak akibat hutang

2.6 juta rakyat US hilang pekerjaan tahun 2008, 11.6 juta kini menganggur, kadar pengangguran mungkin mencecah 10%

Dijangka 3 juta rakyat Britain menganggur pada tahun 2010.

TOYOTA meramalkan kerugian pertama dalam tempoh 59 tahun.

ABN AMRO lenyap.

MICROSOFT membuang 5,000 pekerja, pertama kali dalam sejarah 34 tahunnya.

SSANGYONG MOTOR, WOOLWORTHs, CIRCUIT CITY bankrap.


Simposium ini banyak memberi perkara yang yang membuka minda. Saya rasa amat bertuah menjadi salah seorang jemputannya. Simposium ini di rasmikan oleh Dato' Seri Najib Tun Razak. Tujuan Simposium ini adalah untuk mempersediakan usahawan-usahawan IKS menghadapi kegawatan ekonomi. Mengikut MIDf research, ekonomi dijangka lebih kritikal pada tahun 2010 jika suku ke 4 tahun ini ekonomi kita tidak menunjukkan kesan baik pulih.

Terlalu panjang untuk saya ceritakan simposium yang mengambil masa 1 hari ke dalam artikel ini. Cukuplah saya katakan bahawa sesiapa yang berada dalam industri cendawan/makanan ini bertuah kerana sektor ini kesannya tidak sangat terganggu berbanding dengan sektor lain seperti automotif, pembinaan, pelancongan dan lain-lain.

Di simposium ini juga sebuah buku bertajuk ,Langkah Demi Langkah Memulakan Perniagaan' yang dihasilkan oleh SMIDEC dilancarkan oleh Dato' Seri Najib Tun Razak. Untuk pengetahuan, SMIDEC akan bertukar nama kepada SME Corporation tidak lama lagi. Tujuan Perubahan ini adalah untuk menyelaraskan arahan bertindan antara agensy.

Dibawah ni pula saya ambil gambar bangunan MARTRADE untuk tatapan mereka yang belum pernah kesana.

Meja makan yang telah disusun rapi untuk sesi makan tengah hari simposium berkenaan.


Antara kemasan struktur luaran dewan yang cantik di Martrade.

Rabu, 2009 Februari 25

Taklimat Skim Cima Agro Ditutup Sementara

Taklimat Skim Perladangan Kontrak dan Lawatan Ladang yang biasa diadakan di Cima Agro setiap hari Sabtu pada pukul 3 petang ditutup pada umum buat sementara waktu sehingga di beritahu kelak. Terima kasih atas sambutan yang menggalakkan atas semua pengunjung taklimat dalam sesi yang lepas.

Penutupan sementara ini adalah disebabkan masa saya yang amat terhad dalam menjalankan dan merealisasikan perancangan yang telah saya atur bagi Cima Agro untuk Tahun 2009. Saya jangkakan saya juga tidak dapat mengadakan sebarang kursus terbuka untuk suku pertama tahun ini. Harap maaf kepada mereka yang telah membuat pertanyaan tentang kursus Cima Agro sebelum ini.

Pembukaan semula Taklimat Sabtu dan Kursus akan saya umumkan secepat mungkin.

Harap maklum

Khamis, 2009 Februari 12

Mushroom Crisps Vacuum Fry


Gambar saya bersama pegawai FAMA Negeri Selangor dan FAMA Daerah Kuala Selangor di Kilang Pemprosesan FAMA bertaraf GMP yang terletak di Tanjung Karang. Sebelum masuk ke kilang tersebut, kami dikenakan memakai labcoat, penutup mulut dan kasut sarung.


Hari ini saya rasa beruntung kerana di jemput untuk melawat Kilang Memproses Cip Ubi Kayu milik FAMA. Saya mendapat jemputan dari FAMA Negeri Selangor selepas saya nyatakan hasrat saya untuk menghasilkan produk cip cendawan Vacuum Fry Cima Agro pada mereka. Ini amatlah berguna untuk saya bagi mengetahui keperluan asas, mesin dan sebagainya dalam memproses Cip Cendawan Vacuum Fry Cima Agro itu nanti. Saya juga mendapat beberapa 'contact' yang amat berguna dalam persediaan ini.

Akhir lawatan yang sangat bermanfaat ini, saya ditawarkan untuk menghantar beberapa orang pekerja saya untuk menjalani latihan industri di FAMA bahagian pemprosesan bagi melatih mereka sebelum saya bermula sepenuhnya.

Bercakap mengenai kilang dan produk, Cima Agro baru sahaja menjalani kursus 2 hari yang di wajibkan kepada semua pemegang SIJIL HALAL seluruh Selangor di Institut Latihan ILDAS, Sabak Bernam. Saya lihat kini (dari blog rakan-rakan dan dari surat khabar), ramai pengusaha yang sudah dan yang ingin mengusahakan produk dari cendawan. Satu nasihat daripada saya, sebelum kita mengkomersilkan sesuatu produk, adalah mustahak untuk kita mendapatkan Sijil Halal dahulu. Itulah perkara pertama dan utama! Kini, untuk memohon sijil Halal, kita perlu rujuk pada HDC (Halal Development Centre) dengan bayaran kurang dari RM300. Selepas memiliki sijil tersebut, barulah kita teruskan dengan packaging design. Untuk pergi jauh, kita perlu melabur sedikit dalam mencipta 'packaging design' yang menarik.

Selain dari packaging design, saya juga ingin berkongsi pentingnya packaging material yang akan menentukan ketahanan produk seperti di bawah :

Frozen Food (Frozen Fried Mushroom, Mushroom Nugget dll) jika dalam packaging plastik PP, PE (plastik biasa) ia bertahan cuma 3 bulan paling lama. Selepas itu ia merosot dari segi kualiti dan bau plastik tersebut melekat pada produk. Kandungan air juga cepat keluar menyebabkan produk jadi kering.

Frozen food (contoh sama seperti diatas) dalam plastik nylon bercampur PP (seperti packaging Cendawan Goreng Cima Agro) ia akan bertahan dalam 1 tahun.

Cip cendawan Vacuum Fry dalam plastik PP (plastik biasa) bertahan dalam 1-3 bulan sebelum lemau atau berbau plastik.

Cip Cendawan Vakuum Fry dalam Aluminium Foil ia boleh bertahun dalam setahun setengah.

Pengusaha yang merancang untuk mengkomersilkan produk dari cendawan mereka dan bercita-cita untuk pergi jauh perlulah memikirkan perancangan produk mana dan packaging apa yang sesuai dan mengikut kemampuan mereka.

Saya yang telah bertahun berurusan dengan rangkaian Hypermarket sudah masak dengan kehendak mereka berkenaan kualiti. Jangan ingat kita menghasilkan nugget cendawan atau Cendawan Goreng Frozen kita hanya bersaing dengan pengusaha cendawan lain yang menghasilkan produk yang sama kerana hakikat sebenarnya, kita juga kena bersaing dengan produk frozen lain seperti nugget ayam, nugget ikan, udang yang berbagai bagai jenis brand.

Jumaat, 2009 Februari 06

MENEMBUSI PASARAN LUAR NEGARA

Hari ini saya pergi ke PWTC untuk Seminar Keusahawanan sempena ‘Gerak Usahawan Nasional 2009’. Selepas seminar tersebut, saya menghadiri ‘Business Matching Session’ bersama syarikat yang bertapak di luar negara seperti Dubai, Mesir, Qatar, Australia, UK, Kanada dan US yang menghadirkan diri untuk mendapatkan produk baru dari pengusaha Malaysia. Kebanyakkan mereka mencari produk makanan halal dari Malaysia bagi pasaran Muslim di negara masing-masing.

Boleh saya katakan inilah platform untuk pengusaha memasarkan produk mereka ke arena antarabangsa. Terpulang ke arah pelosok dunia mana yang kita mahu jelajahi semuanya mahu bertemu anda di sini. Memang saya teruja melihat potensi pasaran tetapi saya rasa belum tiba masanya Cima Agro menapak ke luar Malaysia lebih-lebih lagi bila teringat akan kata-kata Tony Fernandes, CEO Air Asia dalam Global Brand Forum yang saya hadiri tidak lama dulu... BE STRONG IN YOUR OWN LOCAL MARKET BEFORE YOU GO GLOBAL.

Namun untuk pengusaha lain, yang berfikir sebaliknya atas sebab sebab tertentu, memang patutlah untuk ke sini bagi merebut peluang peluang yang ada. Gerak Usahawan ini akan berlangsung dari 6hb – 8hb Februari ini di Dewan Tun Razak, PWTC.

Khamis, 2009 Januari 15

CIMA AGRO EXPANSION PLAN 2009

Alhamdulillah urusan jual beli tanah bersebelahan Cima Agro beroperasi sekarang ini telah selesai pada awal Januari 2009 ini. Proses ini mengambil masa yang agak lama. Lebih dari satu tahun! Bermula daripada lamaran/bertanya hinggalah ke peringkat tukar nama. Memang menjadi kebiasaan orang kampung kalau satu geran tu mempunyai banyak penama disebabkan tiada membuat wasiat semasa mereka hidup. Dari pengalaman saya membeli tanah ini dan dalam proses membeli sekeping lagi tanah yang belum selesai lagi transaksinya, saya ingin menasihatkan kepada semua jika ada apa-apa harta berwasiatlah! Walaupun tanah itu bak kata orang tua-tua..'sekangkang kera'. Jangan serahkan kepada Hukum Islam (Hukum Faraid) untuk pembahagiaan harta tersebut jika kita tiada. Ia boleh di manupilasi oleh 'Hukum Manusia' jika ia tiada penama. Kalau betul anda nak mengikut hukum Faraid, terus namakan ikut bahagian masing-masing semasa anda hidup dalam wasiat anda.

Sekeping lagi tanah yang dalam proses pembelian terletak betul-betul di tepi sungai. Ia mempunyai pohon yang di penuhi kelip-kelip yang akan bergemerlapan pada waktu malam seperti 'Christmas Tree'. Saya beli untuk pelaburan. Saya jangkakan harga tanah akan naik memandangkan Hypermarket TESCO akan dibuka tidak lama lagi. Jarak perjalanan dari tanah tersebut ke Tesco tak sampai 10 minit. Kalau diikutkan duit takdalah banyak sangat. Tapi daripada habis macam tu sahaja belanja yang tah apa apa, baiklah saya beli tanah. Harap proses tukar nama tidaklah mengambil masa selama tanah yang baru saya beli ini.



Jentera yang disewa untuk menumbangkan tiba pada 1hb Jan 2009. Pada zahirnya jentera tersebut kelihatan kecil sahaja. Namun tenaganya menumbang dan mengalihkan pohon kelapa sawit menyebabkan gegaran kecil terasa di pejabat Cima Agro setiap kali pohon tersebut berjaya di tumbangkan.








Setelah pohon kelapa sawit diterangkan dari tanah ini, saya berpeluang untuk mengambil gambar keseluruhan rumah-rumah cendawan dan juga pejabat Cima Agro dalam satu gambar seperti ini. Perasaannya sukar untuk diluahkan. Terharu dan gembira. Saya rasa bersyukur usaha saya selama ini kelihat jelas terlihat dalam sekeping gambar.


Ahad, 2009 Januari 11

Keganasan Israel : Boikot - Adakah Ia Berkesan?

Semalam saya membaca Yahoo News tentang Israel mendesak Amerika supaya menyerang Negara Iran pada masa yang sama dia menyerang Palestin. Namun GW Bush menolak! Selalunya Amerika bagai di cucuk hidung jika di arahkan oleh Israel, tapi kali ini lain ceritanya Nak tahu kenapa? Strategi.. TAKUT ORANG ISLAM SELURUH DUNIA BERSATU!!

Memang telah menjadi agenda Israel dan Amerika untuk menghapuskan negara Islam terutamanya yang kuat. Jangan kita fikir dengan pertukaran presiden Amerika kepada Obama satu hari nanti akan membawa perubahan dalam dunia Islam kerana dia telah pun menyatakan pendiriannya tentang BaitulMaqdis. Kalau tidak begitu, mana mungkin Yahudi Amerika menaja kempen pilihanrayanya hingga dia berjaya. Perlu kita tahu bahawa Yahudi Amerika adalah kaum minoriti tetapi mereka yang memegang ekonomi Amerika. Sebab itu Amerika 'paksa rela' mengikut telunjuk Israel.

Dunia Arab pula telah dipecah belahkan oleh Israel dalam strategi jangka panjangnya dulu. Muslim Syiah dan Muslim Sunni dulunya bersatu, kini selalu perang berdarah. Mereka bagaikan musuh ketat lebih dari mereka memerangi orang kafir. Kesan perpecahan ini sungguh ketara. Pernah berlaku pada saya, rakan Arab sunni saya menggelabah bila melihat rak buku saya mempunyai satu buku bertajuk Mahdi Montaza. Dia menyelidiki saya dari rakan-rakan saya samada saya sudah bertukar ke Syiah atau tidak. Selepas dia mengetahui perkara sebenar, barulah dia bercerita pada saya. (Mahdi Montaza adalah buku Syiah). Begitulah kritikalnya peemusuhan antara orang Syiah dan Sunni.

Malaysia pun dalam keadaan yang agak rapuh. Strategi yg sama boleh dilakukan untuk berlakunya perang. Cukup Israel/Amerika membakar 3-5 Masjid kita dan keesokkan harinya membakar 3-5 tokong Cina. Berlakulah 13 Mei kembali. Huru haralah kita. Kita antara sesama Islam sekarang ni pun dah cukup tak bersatu maka lebih mudah untuk senjata luar melemahkan kita.

Berbalik pada Palestin dan Israel. Apa nilai yang paling tinggi yang sanggup kita korbankan untuk saudara kita di Palestin selain dari nyawa? Adakah jawapannya duit? Tidak.. Bila saya baca senarai orang yang menderma di NSTP Fund For Gaza, 3 orang paling tinggi menderma selepas beberapa hari ia dilancarkan adalah orang bukan Islam!! Malu saya baca tapi itulah hakikatnya di negara Islam bernama Malaysia.

Jadi jika bukan duit, apa yang sanggup kita korbankan sebenarnya? Boikot barang favourite yang selalu kita beli bila ianya didapati asal dari Amerika yang diketahui mempunyai pelabur Israel?

Biar saya bercerita sedikit.. Sebelum mengusahakan cendawan, saya bekerja di syarikat dari Amerika iaitu Avon Cosmetics. HQ Avon Cosmetics terletak di Amerika. Saya dalam bahagian Sales Management. Pada waktu itu Amerika menyerang Iraq. Seluruh dunia membantah. Mereka mula melancarkan boikot barangan. Senarai barangan pun keluar dan salah satu barangan yang termasuk untuk di boikot adalah barangan dari Avon! Tidur saya tidak lena memikirkan Sales yang saya jangkakan pasti jatuh untuk tahun itu. Maklumlah saya sebagai Division Sales Manager bertanggungjawab dalam bahagian sales. Selalulah saya monitor sales. Pada akhir tahunnya sungguh menakjubkan... Sales tidak terjejas sedikit pun! Maklumat pesaing lain juga didapati jualan mereka tidak terjejas.

Kini saya sudah tiada lagi di Avon. Usaha meboikot barangan datang lagi. Saya tertanya pada diri sendiri adakah ia benar benar akan dilakukan oleh orang ramai atau hanya sebutan yang hanya dilaung-laungkan sekali lagi? Tepuk dada tanya selera. Kalau nyawa tak boleh dipertaruhkan untuk jihad ke jalan Allah, kalau duit tak cukup untuk memberi derma tanda ihsan, usaha boikot baranganlah yang tinggal. Kalau memboikot pun tak mahu dihiraukan kerana tidak kisah, janganlah panggil diri sendiri orang Islam..

Selain dari itu, bersatulah antara kita. Terutama sesama Islam yang berbagai aliran politik dan fahaman. Saya berharap kedamaian dan keamanan Malaysia ini berterusan selamanya. Tahukah kita orang Arab menggelar Negara Malaysia sebagai 'NEGARA YANG PENUH BARAKAH DAN DIRAHMATI ALLAH'. Kalau tak kerana saya berkawan dengan orang Arab, saya tidak tahu. Mereka berkata begitu kerana kita aman damai, maju, kuat dan selalu di limpahi hujan! Bila mereka berada di Malaysia dan ada hujan, mereka akan terus berwudhuk dan melakukan solat sunat hujan. Hairan dengan mereka saya bertanya dan mereka menjawab.. Malaikat Rahmat yang menurunkan hujan dan pada ketika itu apa-apa doa dari orang Islam yang baik dan taat akan diangkat dengan segera tanpa perlu kita berselawat kepada nabi dahulu. Jadi pengajarannya.. ketika hujan lebat bertafakkur dan panjatkanlah doa untuk diri kita dan untuk saudara kita yang sengsara di Palestin. Terutama jika hujan tersebut turun pada hari Jumaat.

Maaf atas coretan yang diluar topik cendawan atau perniagaan pada kali ini yang juga agak panjang lebar. Ianya adalah usaha kecil saya untuk saudara kita di Palestin...

Ahad, 2008 November 30

PERBINCANGAN PRODUK HILIRAN BERSAMA PUAN NORMAH DAN MADAM CHENG DARI VITA AGROTECH DI UM

Rugi betul saya kerana tak sempat nak menghadiri dua hari sepenuhnya forum yang julung kali diadakan di Universiti Malaya tempoh hari. Walaupun saya merancang untuk hadir sejak berbulan lama dulu. Semuanya kerana masalah yang tak dapat dielakkan. Itulah orang kata, kita merancang, Tuhan menentukan. Namun begitu saya dapat hadir pada hari terakhir walaupun setengah hari sahaja.

Kalau ada sesiapa yang pergi sepenuhnya forum tersebut, beruntunglah.. Antara teman-teman saya jumpa yang menghadiri forum 2 hari tersebut, adalah Puan Normah, Ms Florence, Encik Nabil, Encik Akmal, En. Tarmizi, Mdm Cheng, Mr Bobby, Mr Kuan dan banyak yang lain. Untuk pengetahuan, saya tidak hadir pada keesokkan harinya iaitu sesi pameran dan demonstrasi.

Walaupun waktu hadir saya agak singkat, namun saya berpeluang duduk dengan ‘diapit’ oleh Puan Normah di sebelah kiri saya, Mdm Cheng (Vita Agrotech) di sebelah kanan saya dan Mr Bobby (Damansara Mushroom) di depan saya. Nak tahu Mr Chew (CnC) di mana pada hari tu? Saya di beritahu dia ke Timur Tengah dalam misi mempromosi Mushroom Chipsnya ke sana bersama agency kerajaan.. Sebelum tu, beliau ke Jepun dengan tujuan yang sama. Saya terfikir, kalau dia concentrate pada cendawan segar sahaja, tentu dia takkan pergi sejauh ini!

Kami berbincang tentang produk hiliran vacuum deep fryer yang telah menjadi focus saya sejak kebelakangan ini. Selepas perbincangan ‘belakang tabir’ di sesi forum tersebut, banyak benda yang menyebabkan saya terfikir menyebabkan saya perlu meghubungi CnC untuk kerjasama beliau. Tapi saya terpaksa menunggu sehingga beliau balik ke Malaydia. Produk hiliran chips vacuum fry ini memang menguntungkan tetapi kena ada cara proses dan strategi pemasaran yang betul. Kalau tidak, takkan CnC set up kilang pemprosesannya yang bernilai lebih 3 juta ringgit tu khas untuk buat mushroom chips ni. Untuk pengetahuan, saya diberitahu Vita Agrotech mempunyai satu projek baru yang bernilai RM2 juta! Samada itu untuk set up kilang mushroom chips atau selainnya itu saya tak boleh beritahulah. Kenalah tanya tuan punya badan.. Harap dia tak marahlah saya share info dia kat blog ni! Saya cadangkan sesiapa yang berminat untuk produk hiliran ini, kita tunggu dulu jangan beli mesinnya. Kita perlu berbincang dengan lebih lanjut bagi memastikan kita masuk ke pasaran dengan cara yang betul dan menguntungkan dengan adanya pengeluar –pengeluar besar yang sedia ada.

Sabtu, 2008 November 22

Produk Hiliran Cendawan..



Tentu ramai pengusaha yang telah menceburkan diri dalam bidang tanaman cendawan mula berfikir untuk mengusahkan produk hiliran. Ini terjadi mungkin sebab adanya MASALAH PEMASARAN atau ada juga kerana melihat POTENSI KEUNTUNGAN yang lebih tinggi berbanding produk kita di jual segar. Disini saya ingin berkongsi pengetahuan saya tentang satu produk hiliran yang berpotensi tinggi. Produk yang saya maksudkan telah pun menjadi produk milik CnC. Ia menggunakan Mesin Vakum Fryer. Bagi saya ia lebih bagus dari cendawan tempura beku kerana ia tak perlu di simpan beku. Masalah menghantar jauh produk beku jadi cair pun dapat diatasi.

Sebenarnya proses dia sama dengan menggoreng dengan minyak yang banyak. Tak salut apa-apa. Lepas menggoreng, cendawan tersebut di 'buang' minyaknya keluar sebanyak mungkin. Kemudian baru letak perisa dan dibungkus macam kerepek. Jadilah kerepek cendawan.. Tak perlu di bekukan. Tak perlu peti beku..

Selasa, 2008 Oktober 28

Cendawan di Carrara Market, Goldcoast, Australia










Seminggu yang lepas saya habiskan bercuti di Goldcoast Australia yang terkenal kerana kecantikan pantainya. Ia satu tempat percutian yang popular di Australia. Goldcoast boleh dikatakan seperti Langkawi di Malaysia jugalah. Masyarakat Australia rata-rata peramah dan suka membantu orang lain. Mereka tidaklah seperti yang saya sangkakan sebelum saya tiba di sana.

Walau pun bercuti, mata dan hati tetap ingat akan cendawan. Satu pagi, saya ke Carrara Market. Ia ala-ala Pasar Tani Shah Alam di Malaysia. Meninjau ninjau apa yang mereka jual di pasar, saya jumpa penjual sayur yang menjual cendawan. Yang berbezanya di sana, mereka membungkus cendawan dalam beg kertas atau ‘brown bag’. Mereka tidak menyamakan bungkusan yang sama tersebut untuk sayur lain. Sayur lain di bungkus dalam plastic! Bila di belek belek beg kertas berwarna coklat tersebut, barulah saya tahu apa sebabnya..

Sekadar berkongsi kenapa mereka tidak menggunakan plastic, saya paparkan gambar maklumat di belakang brown beg tersebut seperti di atas.




Button Mushroom menjadi hidangan buffet breakfast saya setiap hari disana. Rasanya pejal seperti daging. Cendawan ini mungkin dipanggang dengan campuran sedikit minyak serta garam dan herba2.


Isnin, 2008 Oktober 27

Bercuti bersama Anak-Anak di Australia

Bergambar di Mt Coot-thaa Brisbane..


Sedapnya hembusan bayu tepi pantai. Rasa seperti dapat terbang.. (Pemandangan pantai Goldcoast dari atas Captain Cook Lookout)





Bukan mudah bercuti jauh-jauh bawa anak-anak yang masih kecil. Nak tinggalkan mereka, tiada siapa nak tolong jaga. Maka dengan itu, kenalah bercuti dengan mereka mereka sekali. Tentu mereka sendiri tak tahu mereka dah ke Autralia. Jadi, kenalah tangkap gambar banyak2. Nanti mereka dah besar dan dah faham, bolehla tunjuk dan kata pada mereka ‘Kamu dah ke Australia!’. Bercakap tentang anak, saya ada 2 orang. Seorang baru masuk 2 tahun dan seorang lagi 7 bulan. Banyak tempat menarik untuk kanak-kanak disana. Kami ke SeaWorld dimana banyak hidupan laut ditempatkan disini. Bagi saya yang paling menarik adalah melihat ikan lumba-lumba. Acara menarik untuk anak saya pula adalah melihat persembahan kanak-kanak ‘Sesame Street’ secara live. Seronok mereka melihat ‘Big Bird’, salah satu character dalam rancangan Sesame Street yang selalu di tayangkan di TV Malaysia.

Walau kemana saya pergi, buku Iqra’ mereka berdua tidak saya tinggalkan. Sebelum keluar berjalan disana, kena iqra’ dulu! Anak perempuan saya yang berumur 2 tahun sudah stage Iqra 2 dan saya jangkakan umurnya 3 tahun dia sudah mula membaca Al Quran. Itupun jika saya terus mendisiplinkannya seperti sekarang. Agak sukar juga untuk mendisiplinkan diri kita sendiri supaya meluangkan masa mengajar anak-anak kita mengaji! Kalau mamanya dah sibuk dengan cendawan, dapatlah mereka 'cuti' mengaji. Setiap kali begitu, saya akan rasa menyesal untuk satu hari tu. Anak lelaki saya pula sedang diperkenalkan dengan huruf Hijaiyah bermula umurnya 6 bulan. Berbanding dengan kakaknya, anak lelaki saya mempunyai respons dan minat yang lebih tinggi dalam setiap sesi pembelajaran. Di bawah adalah gambar anak-anak saya di Australia..

Mana mama ni..


Eh Dua beradik ni bila masa capai toys tu. Nasib baik sempat sedar sebelum pegi kaunter! Ni di salah sebuah tempat membeli belah di Goldcoast

Hello Kangaroo! How Are You?..

Lainlah pasir Goldcoast dengan pasir Port Dickson! Dan juga.. ramai orang berjemur kat tepi pantai macam jemuran ikan masin kat Kuala Selangor tu! Mama dah naik juling mata ni..

Seronoknya dua beradik ni dapat naik bas gerak pakai duit syiling.. Dah berenti basnye, minta duit nak suruh bas gerak lagi. Akhirnya menangis mama suruh turun nak balik!

Kita tak boleh masuk dalam air pancut ni lah sayang..

Khamis, 2008 Oktober 16

PROFIL 100 USAHAWANTANI TERBAIK MALAYSIA



Satu kenyataan yang menaikkan semangat dan harapan untuk semua yang terlibat dalam industri cendawan! TEMPAT PERTAMA dalam profil terbaik ini milik seseorang dari industri cendawan tiram kelabu!!

BUKAN dari industri cacing/vermikompos, buah naga, jagung, atau industri asas tani seperti frozen food atau kerepek2..

Pemilik tempat pertama ini adalah Mr Chew Swee King dari CnC dengan nilai jualan RM9 juta setahun. Tempat kedua milik pengusaha ladang rempah ratus untuk pasaran tempatan seperti ADABI dan Dewina Food serta pasaran antarabangsa, Encik Sidek Rosman dari Sepang dengan nilai jualan tahunan RM1.2 juta. Tempat ketiga milik Mr Tiew Seng Kiea pengusaha tanaman berbagai jenis sayuran untuk pasaran Pasar Borong Selayang dan Pasar Borong Ipoh denagan nilai jualan tahunan RM1 juta.

TEMPAT KE EMPAT? Sekali lagi ia milik Tanaman Cendawan Tiram Kelabu.. Mr Ooi dan Mdm Cheng dari Vita Agrotech. Nilai Jualan tahunan RM1 juta.

Cendawan memang boleh menjana kewangan yang lumayan. Dimana pula tempat Cima Agro? Tempat ke 19 sahaja.. Terima kasih saya ucapkan kepada Dato' Safie Baharom, Bahagian Pengembangan, Perundingan dan Pelaburan Industri Asas Tani Jabatan Pertanian Putrajaya atas surat penghargaan yang diberikan kepada Cima Agro. Kami akan terus berusaha. Jauh perjalanan lagi untuk saya mengejar mereka.. Semoga tahun depan kedudukan Cima akan menapak keatas InsyaAllah..

Sabtu, 2008 September 27

PERSATUAN CENDAWAN MALAYSIA (Mushroom Association of Malaysia)

Saya tak tahu yang ramai pengusaha cendawan kita tak tahu tentang persatuan yang dah lama wujud ini. Kalau begitu saya jemput ramai ramai masuk jadi ahli. Bayaran tak lah mahal mana. RM30 setahun sahaja. Selain daripada mesyuarat setiap tahun dan seminar, ahli juga menerima info tentang cendawan daripada persatuan melalui buletin yang diposkan terus kepada anda. Apa-apa kajian tentang cendawan juga turut dimaklumkan dalam buletin ini. Presiden bagi persatuan ini adalah Prof Dr Viki, seorang Profesor dari Institut Sains Biologi, Universiti Malaya. Sebelum ni Prof Dr Noorlidah juga dari institusi dan universiti yang sama. Kedua-duanya sama-sama pencinta cendawan dan banyak berbakti dalam penyelidikan bidang ini.

Dah jadi ahli, jangan lupa daftar seminar 'Malaysian Mushroom Conference & Foray - A Global Outlook Of The Mushroom Industry' yang akan diadakan pada 27-28 November nanti dengan harga RM250 jika mendaftar sebelum 15 Oktober. Bayaran ini termasuk untuk nota-nota, tea breaks dan makan tengah hari. Jangan lupa, bayaran ini termasuklah peluang berjumpa dengan pakar pakar luar dan dalam negeri serta pengusaha cendawan lain.

Dapatkan borang ahli dari web Vita Agrotech dalam bentuk Adobe http://www.ganofarm.com/catalog/MAM-Membership-Form/

Dah isi borang, hantar/faks ke pejabat persatuan dan bayar lah yurannya..

Kemudian, untuk maklumat lanjut tentang konferens yang julung kali diadakan itu, sila rujuk
http://www.ippp.um.edu.my/mmcf2008/index.htm Borang keahlian

Selamat Menjadi Ahli dan

SALAM I'DUL FITRI AL-MUBARAK UNTUK SEMUA DAN MAAF LAHIR BATIN..

Ahad, 2008 September 21

PAKAR - PAKAR CENDAWAN DUNIA KINI DI MALAYSIA..




Beberapa pakar dari UK, US, China, Hong Kong dan Singapore akan berada di Malaysia untuk berkongsi ilmu dalam 'Malaysian Mushroom Conference & Foray' pada 27 - 28 November nanti. Tentunya konferens ini akan menyumbang kepada industri cendawan di Malaysia yang boleh dikatakan dalam peringkat yang agak muda dan baru berbanding mereka. Sila klik imej yang telah saya download bersama dengan artikel ini untuk maklumat lanjut. Saya rasa kemungkinan besar seminar ini diadakan dalam Bahasa Inggeris melihat pada negara asal pakar-pakar tersebut datang. Harga adalah RM250 bagi ahli Persatuan Cendawan Malaysia jika mendaftar sekarang. Bukan ahli RM400. Untuk pengetahuan, saya ahli persatuan seumur hidup. Selalunya, disinilah saya berjumpa dengan pengusaha-pengusaha cendawan besar yang lain.. Saya jemput rakan-rakan pengusaha cendawan yang lain terutamanya yang telah melibatkan diri secara serius dalam bidang ini untuk menghadirkan diri..

Ahad, 2008 Ogos 24

PENGUMUMAN UNTUK CONTRACT FARMER. HARGA BELI NAIK SERTA MERTA.

Berita gembira buat semua contract farmer dan yang bakal menjadi contract farmer Cima Agro, mulai hari ini saya akan menaikkan harga belian sebanyak 0.50sen dari RM5.00 ke RM5.50 sekilo. Jangan risau.. Harga belian saya dijamin tidak turun, malah akan naiK. InsyaAllah.

Baru baru ini saya menghubungi Vita dan CnC melalui telefon. Kami berbincang tentang kenaikkan harga minyak dan seterusnya melibatkan kenaikkan kos perniagaan. Akhirnya kami setuju untuk menaikkan harga jualan ke pasaraya.

Begitulah kalau saya nak naikkan harga. Kena dapat kerjasama dari mereka kerana kami sama sama dah menembusi hypermarket tempatan. Nak naikkan harga kena sepakat. Info antara purchaser dari hypermarket sangat efficient. Walaupun mereka bersaing antara satu sama lain, tapi mereka ada ‘orang dalam’ yang memberi maklumat harga jual supplier antara satu sama lain. Macam mana diorang buat tu, tak tahulah saya..

Berbalik dengan harga belian contract farmer ni, saya ulangi ia di bayar tunai RM. Pernah saya denngar contract farming di tempat lain, di beri produk untuk pengusaha tersebut menjualnya dan mendapatkan cash. Boleh juga tu ye.. Tapi saya rasa lebih mudah saya tetapkan tunai. Mudah untuk kedua belah pihak. Cima Agro pun senang dan contract farmer pun senang.

KEDEKUT ILMU?....

Kedekut ilmu.. kata nak tolong Melayu tapi mata duitan dan ambil peluang pada mereka yang baru nak berdiri.. Nak tergelak pun ada bila saya dengar tuduhan tersebut keatas diri saya.

Datang berjumpa saya tak sampai beberapa lama dan mengharap saya curahkan 6-7 tahun pengalaman saya pada dia atau sesiapa sahaja adalah perkara mustahil untuk saya lakukan. Saya bukanlah mesin komputer yang boleh print out semua data dalam masa yang sesingkat itu.

Bila dah marah kan saya tu, macam-macam lain lah keluar. Siap tulis dalam blog lagi tu! Nak kata saya mata duitan, suka ambil peluang ke.. pun tak salah. Orang bagi duit, saya ambil ajelah. hehe.. Janganlah marah sangat! Nanti cepat tua.. Rezeki pun mahal!! Hai.. macam-macam manusia ni..

Ada satu pengusaha cendawan yang datang, saya hidangkan cendawan goreng dan minuman ringan sikit. Yang lucunya lepas rasa cendawan goreng tersebut dengan seriusnya dia kata ‘saya punya cendawan goreng lagi sedap dan spesel dari ni!’ Senyum aje saya mendengarnya.. Mungkin kerana budaya melayu saya masih tebal menyebabkan cara komen tersebut disampaikan jadi lucu.

Teringat saya kisah Rasulallah s.a.w dengan isteri baginda Aishah. Aishah r.a hidangkan baginda kopi yang tersilap bancuh dengan garam. Rasulullah minum terasa masin. Baginda tak kata masin le kopi yang engko buat! Aku buat kopi lagi sedap! Tapi baginda kata ‘ Kopi ni sedap Aishah tapi lebih sedap kalau kita minum bersama..’. Barulah Aishah tahu kopinya masin.

Produk hiliran saya bukanlah sempurna tapi ia adalah yang terbaik dari saya. Ia telah pun berada di pasaran tempatan dan adalah salah satu produk yang akan saya ketengahkan untuk pasaran eksport. Saya juga sedang membangunkan satu produk hiliran dari cendawan yang baru dan ia bukanlah sejuk beku. Sama seperti produk sejuk beku saya, strategi pemasaran dengan pembangunannya adalah untuk mengurangkan jumlah pendapatan Cima Agro dari hasil cendawan segar. Produk hiliran boleh meraih harga yang premium dan menaikkan jumlah pendapatan secara total tanpa meningkatkan pengeluaran hasil cendawan.

LAGI TENTANG PENYAKIT HIJAU.. (dan lain-lain penyakit)

Posting saya tentang penyakit hijau yang berjumlah 5 muka surat tu ada sambungan lagi. Saya ingat dah banyak dan lengkap dah. Rupanya ada lagi.

Bukan sengaja tak mahu bagi semua ilmu yang ada tapi apakan daya pada waktu menulis tu.. itu saja yang teringat. Bila saya senang, tengah duduk-duduk tu.. teringat benda lain pulak lagi yang patut saya tambahkan dalam artikel tersebut.


Benih (ulangan)

Memang ini adalah punca kebanyakkan penyakit. Seperti kita tahu yang menjual benih secara komersil membuatnya secara banyak, ratusan botol yang kadang-kadang mencecah ribuan botol tak mungkin ada masa untuk memeriksa seteliti kita yang buat untuk diri kita sendiri. Sebab itu lebih bagus kalau kita buat benih sendiri. Kalau mula-mula buat tak jadi, bila dah banyak kali buat tentu jadi. Bila dah jadi confirm dah tak payah risau pasal benih sebagai punca penyakit kalau kita dah chech teliti habis. 6 tahun dulu pun saya ada masalah penyakit yang asalnya dari benih. Dah letih dengan masalah tersebut menyebabkan saya buat keputusan untuk buat benih sendiri. Selesailah masalah hinggalah sekarang. Saya sedar benih adalah penting bagi mereka yang terlibat dalam bidang ini secara kecil atau pun besar jika mereka ingin bertahan lama. Sebab itu saya anjurkan kursus benih yang lepas dan saya iklankan di surat khabar ber Bahasa Melayu. Saya juga minta projek cendawan.com dan e-cendawan untuk mengiklankan kursus benih saya tu. Harganya pula murah. Orang lain buat RM1500. Saya buat RM750. Sebab saya nak menolong..



Benih dari Gandum Vs Benih dari Padi (tambahan baru)

Jika kita gantikan padi adalah lebih baik. Padi adalah bijirin dari negara beriklim seperti Malaysia ni dan gandum adalah bijiran dari negeri beriklim sejuk. (Tidak dinasihatkan pada mereka yang baru belajar buat benih) Tapi untuk permulaan ia adalah agak sukar. Lagi satu, tambahkan 10-20% habuk kayu kedalam biji gandum untuk buat benih ni. Ini bagi memperkenalkan pada maisilia cendawan akan media habuk kayu yang akan mereka lalui bila mereka ‘dah dewasa’ nanti. Enzim yang dirembeskan semasa maisilia mencerna habuk kayu dengan semasa mencerna biji gandum adalah berlainan jenis dan kuantitinya. Jika mereka telah diperkenalkan dalam gandum (dengan kuantiti kecil habuk kayu), mudah untuk mereka menghasilkannya dalam habuk kayu. Benih yang dihasilkan akan jadi lebih kuat dan bila kuat, susah lah untuk penyakit hinggap. Perlu diketahui, benih yang dicampur dengan 10-20% habuk kayu tersebut akan berjalan 1-2 hari lebih lambat berbanding dengan 100% benih bijirin gandum dll.


Lantai simen (tambahan baru)

Lantai bersimen dipercayai mengurangkan masalah penyakit kerana kita dapat mengawal kebersihan lantai dengan membersihkannya dengan Clorox. Guna Dettol untuk lantai? Tak payahlah. Mahal tu.. Guna Clorox dah 99.99% bacteria and germs free. Jika berlantaikan tanah, memang pengusaha akan menaburkan kapur tapi kapur ini akan segera terserap jika membuat siraman. Saya tak pasti keberkesanan taburan kapur keatas tanah bertahan untuk berapa lama dari tarikh ia di taburkan.

Air siraman (tambahan baru)

Jenguk-jenguk sikit tangki air anda. Ada lumut tak? Atau ada keladak termendap dll? Ini boleh jadi punca juga. Kalau malas nak panjat tangki, ambil kertas litmus dan test pHnya. Kalau ia dalam lingkung pH6.0 -6.9, itu adalah kesukaan hijaulah tu. pH juga boleh berubah dengan suhu. Ambil dan periksa pH diwaktu anda biasa menyiram. Kalau nak lagi tepat dengan jumlah mikrob dan sebagainya, lab test lah jawabnya.

Kali ni saya dapat postkan direct dalam blog pasal saya tak menaip artikel penyakit ni kat dalam Ms Word tapi direct dalam blog. Jadi, bolehlah anda membacanya direct. Susah juga saya nak emelkan attachment macam yang sebelum ni. Banyak yang meminta dan saya pula bukanlah boleh buka blog hari-hari untuk tengok emel dan reply permintaan sesegera mungkin. Sekali reply ada dalam 4-5 emel. Hangat sambutan tentang penyakit ni.


OKlah. Nanti kalau saya ada masa dan teringat benda lain lagi untuk ditambah, InsyaAllah saya akan menulis lagi..

Ahad, 2008 Ogos 10

Khidmat Nasihat dan MoU bersama CIMA untuk Pinjaman Agro Bank

Kepada Kesemua Bekas Peserta Kursus Cima Agro

1. Jika anda sudah membuat keputusan tempat yang akan diusahakan
2. Jika anda mempunyai keraguan
3. Jika anda menghadapi apa-apa masalah dalam pengurusan cendawan

Sila hubungi saya, amin atau pejabat cima agro untuk khidmat nasihat. Jika perlu saya atau consultant team saya akan pergi ke tempat anda untuk mendapat gambaran lebih jelas sebelum sebarang nasihat diberikan.

Bagi peserta kursus yang memilih untuk menjadi Contract Farmer, jika anda ingin membesarkan perniagaan anda dengan mendapatkan pinjaman Agro Bank, sila hubungi pejabat kami untuk kami sediakan salinan MoU yang diperlukan pihak Agro Bank bagi meluluskan pinjaman anda. Seperti yang telah diterang didalam kursus, walau anda mempunyai banyak tunai (duit cash) ditangan, simpan ia di waktu anda benar-benar memerlukan sambil menggandakannya. Contohnya simpan didalam simpanan ASB.

Untuk perusahaan cendawan yang baru anda ceburi ini, besarkan ia dengan menggunakan pinjaman Agro Bank kerana

1. Kadar faedah yang paling rendah. Cuma 3.75% sahaja. Itu pun kadar faedah dikenakan atas baki yang tinggal.
2. Tak perlu bayar pada 12 bulan pertama
3. Kalau anda sangkut, boleh runding dan pihak bank akan bagi kelonggaran.


Walaupun menarik, namun bukan mudah untuk mendapatkan pinjaman Agro Bank jika anda baru mengusahakan tanaman cendawan anda 1-2 bulan yang lepas. Maka dengan itu pihak Agro Bank memerlukan MoU anda dengan Cima Agro sebagai jaminan pasaran hasil anda bagi memudahkan proses kelulusan mereka.

Jumaat, 2008 Julai 25

SERANGAN PENYAKIT CENDAWAN - KULAT HIJAU

Sejak kebelakangan ini, saya menerima banyak aduan dari pengusaha tentang masalah penyakit yang mereka hadapi. Ada yang berjumpa saya semasa lawatan ladang yang saya adakan setiap hari sabtu, ada yang menghubungi saya secara terus dan juga ada yang menghantar emel. Tiada yang lebih merisaukan jika beg media kita tidak menjadi/rosak kerana penyakit. Hasil yang diharapkan keluar dari beg tersebut, tidak keluar keluar! Mendalami ilmu tentang penyakit cendawan adalah penting kerana ‘Mengelak Penyakit adalah lebih baik daripada Mengobatinya’. Lebih-lebih lagi dalam industri cendawan ini. Kalau yang dah sakit memang tiada obatnya! Hukumnya buang saje..

Dengan rasa tanggungjawab untuk membantu, saya menulis artikel yang tidak seberapa ini berkenaan tentang penyakit untuk dibaca oleh semua mereka yang sudah atau belum terlibat. Artikel ini saya benarkan untuk di ambil isinya, diubahsuai seperti kepunyaan anda sendiri asalkan intipatinya tidak berubah.


Satu lagi sumbangan Cima Agro untuk semua pengusaha cendawan seluruh Malaysia.



Nota : Artikel tersebut dalam format Microsoft Word. Telah di save kan dalam pictures tetapi tidak boleh di downloadkan ke dalam blog ini. Jika kelapangan, saya akan cuba mencari cara untuk download, jika tidak, bagi mereka yang mahukan artikel tersebut, sila berikan alamat emel anda dan saya akan reply dengan artikel tersebut sebagai attachment. Jumlah adalah 5 muka surat tanpa apa-apa gambar. Hanya tulisan penerangan tentang penyakit dan cara menyelesaikannya sahaja.

Rabu, 2008 Jun 11

Mengapa Perlu Bercita-cita Untuk Menembusi Pasaran Hypermarket?

Semalam saya baru buka emel saya yang tidak di baca sudah beberapa hari kerana kesibukkan. Salah satu emel yang saya terima adalah dari empunya Blog Permai Desa, Encik Supaat. Beliau memaklumkan tentang blog baru Puan Zainon, Contract Farmer saya yang beralamat http://www.gentingpermairesources.blogspot.com/ yang di buat oleh Ariela Enterprise (e-cendawan.com).

Saya baca artikel di dalam blog tersebut tentang kesukaran Puan Zainon memasuki pasaraya GIANT dan JUSCO. Untuk pengetahuan, sebagai Contract Farmer saya, sesiapa pun bebas untuk memasarkan hasil kepada sesiapa jika harga lebih menarik di luar sana. Tetapi jika menghadapi kesukaran, dimana di tangan ada banyak cendawan yang tak terjual (berada dalam keadaan masih segar), maka mereka akan menghubungi saya untuk menjualnya dengan harga RM5.00 sekilo. Saya akan menerima hasil tersebut selagi dia masih Contract Farmer Cima Agro.

Memang menjadi lumrah dalam apa-apa usahatani jika usahakan secara kecil-kecilan, kita boleh menjualnya kepada jiran –jiran serta kawan kawan. Jika ia makin maju, usaha meningkat, maka hasil pun meningkat. Bila dah hasil meningkat, kita tak boleh jual kepada customer yang sama tadi kerana mereka tak boleh nak makan cendawan tiap-tiap hari. Nak jual pada pemborong dapat harga mahal pun, berapa banyak pemborong boleh ambil? Kalau pemborong tu dapat pengusaha cendawan lain yang jual murah daripada kita, dia lari ke orang tulah. Jadi, di sinilah peranan Cima Agro. Menjamin pasaran sebelum anda bersedia memasarkannya sendiri. Memang Puan Zainon pernah menyatakan hasratnya pada saya untuk memasuki pasaran Hypermarket satu ketika dulu. Saya terus memberi galakan kepadanya. Saya yakin beliau bukan yang cepat mengalah. Satu hari tentu akan ke sana jua..

Sedikit tentang hypermarket, melalui pengalaman saya, boleh saya katakan apa yang Puan Zainon alami yang ditulisnya dalam blog beliau adalah lebih kurang sama dengan apa yang saya alami 4-5 tahun dahulu. Nampaknya tiada beza senario tersebut.

Perancangan pemasaran perlu jika keluaran sudah meningkat. Tidak malu, sabar dan pandai menawar adalah salah satu kemahiran yang perlu bila menemui buyer hypermarket besar. Jika gagal juga, jangan putus asa. Banyak cara lain. Nasihat yang paling penting sekali adalah dapatkan maklumat sebanyak yang boleh sebelum ‘melamar’ mereka. Adakah mereka pembayar hutang yang bagus? Berapa credit term mereka? Berapa rebet dari invois? Ada apa-apa tolakan lagi dari invois? Rebet adalah sesuatu yang biasa. Tapi ia berbeza dari satu pasaraya ke pasaraya yang lain. Yang lebih teruk lagi, jika kita juga dipaksa untuk ‘menderma’ setiap kali mereka membuat Ulangtahun atau Promosi. Sebab itu saya tidak memasuki pasaraya yang meletakkan berbagai tolakan bayaran seperti ini..

Ahad, 2008 Jun 08

Gambar Sekitar Kursus Tanaman Cima Agro















Gambar peserta di beri penerangan di bahagian pemprosesan cendawan goreng salut tepung sejuk beku CIMA Agro serta tips dalam memproses apa-apa produk sejuk beku supaya ia tahan lama. Sebelum ke bahagian ini, mereka telah melawat bahagian gorengan. Di belakang saya dalam gambar ini adalah 'Blast Freezer' yang boleh membekukan produk makanan dalam masa 15 - 20 minit sahaja. Saya beritahu peserta kursus saya tentang permulaan saya menceburkan diri dalam produk sejuk beku ni saya beli peti beku kecik yang harga RM600 tu aje. Permintaan meningkat saya tambah dan tambah peti beku tu. Sekarang dah ada 5 buah dan dah tak pakai lagi pasal lepas tu 'miniaga manyak untung lo..' saya pun buat cold room. Jadik peti beku RM600 tu dah berehat lah.. Kalau sape nak beli harga patut, saya ok je dari duduk situ dari tak buat ape.










Peserta kursus dibahagikan kepada kumpulan sebelum di bawa untuk membuat praktikal di rumah hasil yang berlainan di ladang Cima Agro. Terdengar mereka soh seh soh seh bercerita. Bila saya dekati rupanya mereka sedang bercerita tentang petikan mereka dari satu rak yang sudah mengeluarkan 9 kali hasil tapi masih menghasilkan 5 bakul kutipan dari rak tersebut. Mereka kata kalau mereka tak kutip sendiri hasil dari 'rak tua' tu, mungkin mereka tak percaya. Malah ada yang terkejut bila timbang satu kuntum tu lebih 100gm! Saya kongsikan pada mereka bahawa teknik buat beg media pengusaha pengusaha cendawan lain semuanya lebih kurang sama aje seperti saya (yang tak campur EM). Rahsia yang membezakan kami adalah cara penjagaan penyakit dan pengurusan rumah hasil. Kalau beg media di buat tu menjadik, putih melepak maisilium tu tapi keluarkan 2-3 kali hasil dah dijangkiti penyakit, kita tak boleh untung dalam perniagaan ni. Boleh tepuk dahi.. Sebab itu di CIMA kami menawarkan 'Praktikal Lanjutan' dengan harga RM50 sehari sahaja selepas kursus 2 hari tersebut untuk peserta kursus kami jika mereka mahu mendalami sebaik-baiknya mana-mana bahagian operasi. Untuk batch peserta kursus kami yang ini, ada 11 (sebelas) orang yang mendaftar untuk 'Praktikal Lanjutan' tersebut. Syabas kepada mereka! Memang mereka benar2 mahu mendalami dan menambah ilmu yang ada sebelum berkecimpung dalam bidang ini secara serius. Langkah bijak sebelum tersilap langkah!!













Gambar peserta di bilik packing. Kami tunjukkan 'seni' membungkus untuk standard pasaran Hypermarket. Tips mengurangkan wap air di plastik juga dikongsikan.

Isnin, 2008 Mei 26

Kursus Tanaman Cendawan 25 Mei 2008

SEKITAR KURSUS TANAMAN CENDAWAN 25 MEI



Sesi bersama Pengarah Agro Bank Selangor, Pn Hajjah Zaharah








Demonstrasi membuat popiah cendawan








Alhamdulillah telah selesai Kursus Tanaman Cendawan untuk hari ini. Peserta peserta datang dari pelbagai bidang. Ada 3 orang peserta yang telah memang ada projek cendawan mereka sendiri. Tentu saja mereka datang untuk menambah ilmu. Di harap banyak yang boleh dipelajari dari Kursus Cima Agro yang saya adakan. Puan Ros dari Seberang Perai misalnya, telah 2 tahun memulakan projek cendawan di tempat beliau dan sudah mempunyai 20,000 bongkah.


TERIMA KASIH KEPADA PENGARAH AGRO BANK SELANGOR

Terima kasih saya ucapkan kepada Pengarah Negeri Agro Bank Selangor, Puan Hajjah Zaharah Hashim kerana sudi datang untuk bersama dengan peserta kursus saya. Tak sangka beliau pun salah seorang pelawat blog saya ni. Slot bersama Puan Hajjah Zaharah banyak mendedahkan perkara yang ramai orang tak tahu tentang agro bank. Sehingga saya sendiri yang dah lama jadi pelanggan Agro Bank pun tercengang mendengarnya! Saya lihat peserta kursus saya hebat dengan soalan yang bermain di fikiran masing-masing ketika slot ini. Yelah.. buat projek cendawan ni kalau kecil, kecillah yang masuk dan kalau besar, besarlah yang masuk! Maka kenalah ada pemangkinnya iaitu Agro Bank. Nak dapat duit pinjaman untuk mulakan perniagaan dalam masa tak lebih 2 hari tanpa perlu kertas kerja, gerento, dan cagaran pun diterangkan bagaimana. Cuma isi sehelai borang aje. Kerana banyak manfaatnya pada peserta kursus saya, saya akan menjemput Puan Hajjah Zaharah ke setiap kursus saya yang akan datang dan saya akan tetapkan tarikh kursus mengikut masa beliau.

Selain daripada pinjaman, saya juga berkongsi bagaimana untuk mendapatkan geran tak perlu bayar bernilai maksimum RM20,000 yang diperuntukkan untuk pengusaha cendawan oleh Jabatan Pertanian. Untung sesiapa yang memulakan sekarang. Masa zaman saya mulakan dulu, takde peruntukkan khas macam ni untuk pengusaha cendawan.

Sepatutnya kami habis pukul 4.30 petang. Saya dah ingatkan mereka waktu yang telah melewati had pada waktu itu takut mereka terlewat nak kemana-mana lepas kursus. Tapi tak seorang pun tinggalkan bilik hingga saya habis berceloteh dan akhirnya mereka pulang hampir pukul 6.30petang! Tekun betul mereka menimba ilmu dan saya ucapkan syabas! Inilah ciri-ciri yang perlu ada jika ingin berjaya. Kami akan berjumpa lagi 2 minggu akan datang untuk menilai beg yang mereka suntik di rumah masing masing. Samada mereka berjaya atau tidak dengan suntikan tersebut. Mereka juga dibekalkan beg yang sedia untuk keluarkan hasil bersama S.O.P (Standard of Procedure) untuk merasai pengalaman menjaga, dan mengutip hasil dari beg cendawan. Jika di mana-mana bahagian ini ada apa-apa masaalah, kita akan berbincang pada 8 Jun (hari kedua kursus ini) nanti. Pada minggu kedua, kita juga akan berbincang sebab dan bagaimana mengelakkan penyakit. Kita akan berjumpa lagi..InsyaAllah!


VCD CIMA AGRO

Lagi satu, semasa saya menjalankan kursus tersebut, ia adalah dalam bentuk teori dan diselang seli dengan demonstrasi keseluruhan proses secara berperingkat melalui video yang saya rakamkan sendiri di ladang saya. Selepas itu barulah disusuli dengan praktikal oleh para peserta. Tak sangka pula rata-rata mereka berminat dengan video saya tu dan menyuarakan untuk mendapatkan video tersebut. Malangnya saya tak terfikir untuk menjadikannya dalam bentuk VCD sebelum ini. Mungkin ini akan jadi projek saya yang akan datang. Mungkin saya juga akan buat VCD Benih dengan menggunakan Kaedah Tisu Kultur kalau sambutannya bagus macam ni. Tapi banyak sangat benda nak buat dan takut pula tak terbuat nanti. Perlahan-lahanlah yee..


MENERBITKAN BUKU PENANAMAN CENDAWAN TIRAM KELABU

Sekarang, saya sedang giat menulis buku tentang penanaman cendawan. Hajat dihati nak terbitkan buku. Tengoklah kosnya nanti. Kalau ok, saya akan terbitkan dan jual. Kalau mahal sangat, ia jadi nota untuk peserta kursus ajelah! Tiap-tiap malam tidur sampai pukul 1 pagi ke 3 pagi kerana asyik depan komputer mencurah apa yang ada di kepala. Tulah dia kalau dah minat dan terlampau asyik! Hari tu saya turun Shah Alam, orang jaga parking tu pun perasan dan tegurkan mata saya yang sembap dan tak cukup tidor ni! Sekarang ni dah hampir 100 mukasurat. Saya anggarkan buku tersebut mempunyai lebih kurang 300 muka surat tentang ilmu tanaman cendawan yang saya perolehi sepanjang 6 tahun saya melibatkan diri.

Ahad, 2008 Mei 18

Sekitar Kursus Benih Kaedah Tisu Kultur pada 17 - 18 Mei 2008

Alhamdulillah, petang tadi telah selesai Kursus Menghasilkan Benih Cendawan Tiram Kelabu dengan Kaedah Tisu Kultur yang berlangsung pada 17 - 18 Mei. Gambar dibawah adalah antara apa yang dapat kami rakamkan untuk tatapan rakan-rakan di sekitar waktu kursus tersebut dijalankan di Cima Agro.













Gambar peserta sedang asyik mendengar ketika sesi teori. Ketika gambar ini diambil, sesi teori disampaikan oleh Pn Normah. Di depan setiap peserta adalah kit berpenutup biru yang diisi dengan alat asas membuat tisu kultur (tisu didik). Ia digunakan semasa sesi praktikal dan seterusnya dibawa pulang.












Gambar gambar sesi demonstrasi bagaimana Cima Agro membuat pengambilan tisu dari induk cendawan untuk dijadikan tisu kultur (tisu didik Fo). Peserta kemudiannya melakukan praktikal memindahkan tisu dari induk yang mereka pilih sendiri di ladang Cima Agro ke 'Piring Agar' masing-masing.











Gambar ketika para peserta dibawa melawat ke Makmal Benih Cima Agro. Senarai pelbagai pembekal peralatan makmal di berikan pada setiap peserta diakhir kursus dengan anggaran harga supaya mereka tidak ditipu jika mereka memilih untuk mempunyai makmal saintifik yang lengkap. Tetapi mereka juga boleh memilih untuk memulakan dengan kos yang rendah dengan menggunakan kebuk pindah. Ia boleh di beli dari Cima Agro atau di buat sendiri.


Gambar ketika para peserta di bawa ke ladang Cima Agro untuk mengambil sendiri cendawan yang menepati kriteria penting bagi dijadikan tisu didik. Cara-cara pengambilan bakal induk adalah jauh berbeza dari cara kita memetik hasil cendawan.




Gambar dibawah adalah gambar kenangan semua peserta yang menyertai Kursus Benih Cima Agro pada 17 - 18 Mei 2008. Nasihat saya, jangan mudah putus asa dalam menghasilkan benih yang baik. Tentunya untuk mendapat yang terbaik usaha dan kesabaran perlu ada selain ilmu yang ditimba. Semoga berjaya!


Ahad, 2008 Mei 11

Anugerah Melayu Cemerlang sempena UlangTahun UMNO ke-62

















Syukur ke hadhrat ilahi kerana dengan kurnianya, saya terpilih sebagai penerima Anugerah Melayu Cemerlang bagi kategori Industri Asas Tani sempena Ulangtahun Umno ke 62. Anugerah disampaikan oleh Setiausahausaha Agung Umno, Dato’ Seri Tengku Adnan Tengku Mansur di PWTC semalam.

Ini adalah anugerah yang diterima buat pertama kalinya dalam bidang tanaman cendawan! Signifikannya anugerah ini kepada saya adalah kerana ia menunjukkan industri tanaman cendawan semakin menyerlah di kalangan orang Melayu di negara kita. Ia tidak lagi hanya dikenali sebagai usaha belakang rumah atau usaha ‘samping-sampingan’ sahaja. Ia telah lama diusahakan secara besar-besaran dengan pendapatan tahunan mencecah jutaan ringgit bagi kaum cina.

Selain daripada Industri Asas Tani ada 5 kategori lain yang menerima anugerah pada hari tersebut. Tidak pula saya ingat nama-nama kesemua kategori tersebut. Tapi kategori ni saya tak boleh lupa… Kategori Kesenian Islam! Apa tidaknya, penyanyi nashid terkenal tanah air menjadi penerima anugerah tersebut! Kumpulan Nasyid Rabbani dan Kumpulan Raihan!



















Gambar saya dengan Ustaz Asri, salah seorang anggota kumpulan Rabbani yang juga penerima Anugerah Melayu Cemerlang dalam kategori Kesenian Islam. Berpeluang saya memberitahu Ustaz Asri yang saya memiliki album beliau berjudul 'Ritma Zikrullah'. Dengan senyum, Ustaz Asri menjawab..'itu album lama saya, sekarang dah ada yang baru judul 'Rintihan Zikrullah'. Tentu sekali saya akan mencari album tersebut jika saya turun ke bandar nanti.




















Gambar saya bersama kumpulan nasyid Raihan. Mereka adalah satu-satunya kumpulan nasyid yang berdakwah hingga ke luar negara. Pernah membuat persembahan di United Kingdom, Kuwait dan lain-lain negara. Mereka juga pemenang Anugerah Melayu Cemerlang sempena Sambutan Ulangtahun UMNO ke 62.

Jumaat, 2008 Mei 02

Peluang Peserta Kursus untuk bersama Bank Pertanian Malaysia

Pada 2 Mei 2008, saya menerima panggilan telefon dari Pn. Hajjah Zaharah Hashim, Pengurus Negeri (Selangor), Bank Pertanian Malaysia atau kini dikenali sebagai Agro Bank..

Bagi sesiapa yang tidak pernah mengenali wanita yang sudah lebih 30 tahun bersama Bank Pertanian ini, biar saya kenalkan bahawa beliau seorang yang ‘very down to earth’ dan suka membantu orang lain. Panjang juga cerita kami sebelum diakhiri oleh beliau kerana ada tetamu VIP yang hadir untuk mesyuarat bersama beliau.

Di pendekkan cerita, Puan Hajjah Zaharah telah meminta ruang 1 jam dalam ‘Kursus Tanaman Cendawan’ pada 25 Mei dan 8 Jun nanti untuk slot ‘Sesi Bersama Bank Pertanian’. Beliau akan menerangkan tentang produk Pinjaman Bank Pertanian yang sesuai untuk bakal pengusaha cendawan. Kita juga boleh mengambil peluang untuk bersoal jawab tentang permohonan pinjaman bagi projek cendawan yang sedia ada, jika peserta telah pun memulakannya. Juga untuk mengetahui tentang cara kelulusan segera dan lain lain. Untuk pengetahuan, Bank Pertanian mempunyai kadar faedah terendah iaitu 3.75% untuk Pinjaman Mikro Kredit dan Dana 3F berbanding dengan bank konvensional yang lain.

Bagi bacaan asas tentang produk Pinjaman Bank Pertanian yang ada, anda bolehlah ke laman web rasmi bank Pertanian Malaysia di link berikut http://www.bpm.com.my/index.cfm

Khamis, 2008 April 24

Skim Perladangan Kontrak

Contoh salah seorang pengusaha yang menyertai Skim Perladangan Kontrak Cima Agro adalah Puan Zainon Ariffin. Artikel tentangnya telah tersiar dalam Utusan Malaysia sisipan Mega sebagai seorang usahawan cendawan yang berjaya. Anda boleh membaca di link berikut. http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0321&pub=Utusan_Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_01.htm.

Di dalam artikel tersebut Puan Zainon menceritakan bagaimana beliau bermula dari menimba ilmu di Cima Agro, seterusnya menyertai Skim Perladangan Kontrak kami. Kini beliau telah menjadi seorang usahawan cendawan yang berjaya. Saya diberitahu sekarang beliau telah pun menjadi induk dan membuka tawaran contract farming pada yang lain pula. Syabas Puan Zainon Ariffin!

Kursus Tanaman Cendawan : Benih Gandum Sedia Suntik

Ada yang bertanya, mengapa kursus di CIMA Agro mahal sangat? Saya hanya tersenyum sambil berkata, "saya tak nak bersaing dengan yang lain sebab itu saya menjadikannya yang 'termahal'!" Biar kurang sambutan dan kurang bilangan peserta kursus... tidak mengapa. Ini kerana saya tidak bergantung pendapatan dengan mengadakan kursus kepada orang ramai. Pendapatan 'besar' saya benar-benar datang dari hasil cendawan dari ladang saya.

Ramai yang bertanya, apa yang mereka akan pelajari dari Kursus Tanaman Cendawan itu nanti. Disini saya coretkan serba sedikit apa yang akan mereka pelajari.














Peserta kursus akan di dedahkan cara membiak benih dari gandum ke gandum. Tapi perlu diingat, untuk menjaga kualitinya, jangan lebih dari generasi ke 5. Bukannya susah sangat kalau nak belajar buat benih sedia suntik ni. Kalau beli benih generasi ke-3 (boleh didapati di CIMA Agro), satu plastik yang harga RM4 tu, boleh biak jadik 20 beg!

Kursus Tanaman Cendawan : Suntik Benih dan Rumah Eram

Proses yang paling sensitif dan kritikal adalah suntikan benih ke beg media dan seterusnya, barulah penjagaan rumah eram. Peserta kursus akan didedahkan dengan cara suntikan yang meminimakan kerosakan beg media. Cara menyuntik dan langkah berhati-hati bagi penggunaan benih plastik dan benih botol adalah berlainan. Peserta perlu melibatkan diri dengan kedua-dua cara dan langkah berjaga-jaganya bagi lebih mengingati proses yang betul.

Penjagaan sewaktu pengeraman tidak kurang juga pentingnya. 2 minggu yang pertama menentukan 90% kejayaan beg media mengeluarkan hasil kelak. Setiap hari selama 2 minggu pertama ini, penyisihan penyakit dari rumah eram perlu dilakukan dengan segera sekiranya ada. Mengenal pasti penyakit dan seterusnya bagaimana menyelesaikannya perlu di pelajari. Peserta kursus akan merasa secara 'praktikal' pengurusan penyakit di rumah eram CIMA Agro kelak.

Kursus Tanaman Cendawan : Penjagaan Rumah Hasil

Setiap benda hidup pasti ada masalah penyakitnya. Sebab itu, para peserta kursus perlu benar benar mempelajari cara pengurusan rumah hasil yang betul. Mereka akan melakukan praktikal di semua peringkat proses. Di rumah eram, rumah hasil dan lain-lain. Tiada gunanya berpenat lelah membuat beg media jika sekiranya beg-beg tersebut mengeluarkan 1-2 kali hasil kemudian rosak.


Di CIMA Agro, kaji cuba kami dan maklum balas dari pembeli bongkah kami, beg-beg kami boleh mengeluarkan hasil hingga 13 kali tuai! Tetapi, untuk memaksimakan pengeluaran harian, kami menyimpan selama 8 kali tuai sahaja. Walau bagaimanapun, ini adalah mustahil untuk dicapai jika kita tidak pandai menjaganya dengan betul. Sebab itu bahagian ini perlu di beri pendedahan praktikal supaya peserta kursus dapat menguasai prosedur yang betul dalam penjagaannya.

Kursus Tanaman Cendawan : Pengeluaran Secara Manual





Peserta kursus akan didedahkan dengan cara pengeluaran manual. Pakai cangkul, baldi jirus bunga dan sebagainya.. Ini memang kena buat praktikal. Kalau tak buat nanti lupa!










Sambil mencangkul, menggaul, sambil ingat formula bancuhannya..











Dapat paling minima 3-5 beg pun jadilah..




Mudah bukan? Budak tak tamat sekolah pun boleh buat kalau bahagian buat beg media ni. Sebab itu kalau waktu cuti sekolah, ramai pengusaha mengupah budak budak sekolah ni buat beg! Perlu diingat... yang susahnya adalah di bahagian yang lainnya..

Kursus Tanaman Cendawan : Pengeluaran Secara Komersil



Peserta kursus akan berpeluang melihat aktiviti harian syarikat CIMA Agro secara dekat. Daripada mengeluarkan beg media secara komersil hinggalah ke persediaan ke pasaran. Bagi mereka yang mempunyai wawasan untuk megerjakan usaha ini secara komersil satu hari nanti, pendedahan proses serta peralatan dan fasiliti ketika ini amat berguna sekali.

Kursus Tanaman Cendawan : Produk Hiliran Cendawan

Peserta Kursus Tanaman Cendawan juga akan didedahkan dengan proses membuat Cendawan Tiram Goreng Rangup keluaran syarikat CIMA Agro. Ia bagi membuka minda mereka supaya tidak tertumpu kepada pasaran segar keluaran hasil mereka semata.















Kalau ada pengusaha nak buat secara kecil - kecilan boleh juga. Mula buat pakai kuali kecil, nanti lama-lama mana tau... boleh beli mesin besar. Hehe..



Sejukkan pada suhu bilik sebelum masuk peti sejuk beku penting.







Untuk pengetahuan, pasaran cendawan sejuk beku ni tak dapat nak dipenuhi oleh kami. Baru semalam kami dapat oder 600kg cendawan sejuk beku dari Syarikat Pengedar makanan sejuk beku bumiputeta terkenal di Malaysia 'Iwani Frozen'. Itu belum masuk tempahan dari hypermarket lagi! Sebab itu kami tawarkan Contract Farming.

Makanan sejuk beku secara amnya memerlukan kondisi yang sama bagi menjaga kualiti. Saya pernah ditanya.. 'kenapa cendawan beku saya bila digoreng ok, tetapi bila saya pasarkan,customer kata rasanya masam?' Sambungnya lagi, 'bila saya cuba goreng semula apa yang saya dah bekukan, memang benar ia rasa masam. Kenapa jadi begitu?' 'Bilakah sepatutnya expiry datenya?' Memang mengeluarkan makanan sejuk beku nampak mudah tapi menjaga kualitinya adalah satu perkara yang memerlukan ketelitian.


UNTUK CERITA BLOG INI SETERUSNYA... Klik di kanan anda untuk tajuk seterusnya. Tajuk Kunjungan Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Selangor, Peluang Perladangan Kontrak Farming dan lain-lain.

Sabtu, 2008 April 12

PELUANG PERLADANGAN KONTRAK DAN KURSUS TANAMAN CENDAWAN


Risau tentang pasaran sekiranya melibatkan diri dalam bidang cendawan ini? Apa kata anda rebut peluang menjadi Contract Farmer Cima Agro.

Ia mudah dan menghilangkan kerisauan dalam mencari pasaran. Menjadi 'Contract Farmer' kami, anda bebas menjual kepada sesiapa sahaja. TETAPI jika anda mempunyai lambakan/lebihan yang agak tetap setiap kali petikan, anda boleh menghantarnya ke Cima Agro bergantung kepada jenis kontrak yang dipersetujui oleh kedua belah pihak.

Syarat syarat untuk menjadi Contract Farmer kami :

1. Ladang anda mestilah berada dari jarak yang jika membuat penghantaran hasil cendawan kelak, cendawannya akan tiba dalam keadaan segar. Perhatian : Cima Agro berada di Bukit Belimbing, Kuala Selangor.

2. Ladang anda tidak menggunakan sebarang racun samada racun serangga dan sebagainya.

3. Ladang anda tidak menggunakan EM (Effective Microb) dalam apa apa proses pengeluaran beg media dan penjagaan keseluruhannya. Contract Farming Cima Agro? Ini lah yang dilakukan pengusaha cendawan di Batang Kali, Puan Zainon Ariffin sebelum memulakan usahanya dalam bidang tanaman cendawan. Ini diakuinya dalam artikel surat khabar Utusan Malaysia, sisipan Mega pada Jumaat, 21 Mac 2008 lalui. Sila rujuk http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0321&pub=Utusan_Malaysia&sec=Keluarga&pg=ke_01.htm

Kami berbangga dengan kejayaan Puan Zainon. Beliau adalah salah seorang pengusaha yang mendapat latihan dari kami sewaktu zaman kami melatih bakal pengusaha tanpa mengenakan sebarang bayaran serta menjamin pasaran mereka. Ini adalah bagi menunaikan tuntutan fardhu kifayah yang mampu kami lakukan. Ada ramai lagi seperti Puan Zainon yang telah kami latih di luar sana. Tujuan kami juga adalah untuk melahirkan lebih ramai usahawan cendawan pada zaman 2005-2006 dahulu yang agak kurang bilangannya di kalangan orang Islam. Kini, dari internet ini saya dapati, bilangan pengusaha cendawan adalah amat membanggakan. Tahun 2008 bermulalah Kursus Berbayar dan pengiklanan bagi tujuan promosi untuk Cima Agro.

CENDAWAN GORENG RANGUP BERSALUT TEPUNG SEJUK BEKU (FROZEN FOOD)

Cendawan sejuk beku Cima Agro didatangkan dalam pilihan 24 peket atau 50 peket satu carton/box


Cendawan Goreng Rangup Bersalut Tepung Sejuk Beku di isi dalam 'plastic tray' sebelum di pek ke dalam plastik pembungkusan.


Ramai pengusaha tanaman cendawan yang kreatif, telah mengeluarkan produk hasil dari cendawan atau lebih dikenali sebagai produk hiliran. Saya kagum dengan adanya cendawan panggang, krim cendawan, cendawan beku dan lain-lain semasa saya melayari laman blog rakan rakan lain yang berada dalam blogspot masing masing. Saya amat menggalakkan supaya dibangunkan produk ini secepat mungkin untuk mengurangkan pergantungan pemasaran kita dalam bentuk cendawan segar. Lebih-lebih lagi bila melihat kepada bilangan penanam cendawan yang semakin lama semakin ramai. Itu belum masuk projek mega Kerajaan Negeri Sembilan yang dalam perancangan mendirikan 600 buah rumah cendawan berukuran 35' x 40' di tanah berkeluasan 100 ekar milik Koko Negeri Sdn Bhd di Serting Ulu, Daerah Jempol Negeri Sembilan. (InsyaAllah artikel tentang ini akan saya paparkan tak lama lagi)

Tidaklah susah untuk kita yang telah menghasilkan cendawan seterusnya menukarkannya kepada produk hiliran. Sebagai contoh,

1. Cima Agro telah pun mengeluarkan produk hiliran dalam bentuk frozen food.

2. CnC telah mengeluarkan produk hiliran dalam bentuk Vacuum Fry.

3. Vita telah mengeluarkan produk hiliran dalam bentuk sos.

Produk keluaran Cima Agro kami namakan 'Cendawan Goreng Rangup Bersalut Tepung'. Ia telah pun wujud sejak 3 tahun lalu. Kini ia dipasarkan di Hypermarket Mydin, Kiosk Carefour Subang, Kiosk Tesco Shah Alam. Dalam bulan Mei depan, produk ini juga boleh didapati di 5 Hypermarket Giant yang terbesar di Lembah Kelang.

Untuk mereka yang berminat mencuba menjual produk cendawan beku di zon masing masing sebelum menghasilkannya sendiri (test market), boleh membelinya dari kami dengan harga berikut. Berat sepeket adalah 250g.

Kurang dari 150 peket - RM3.00 sepeket
Lebih dari 150 peket - RM2.70 sepeket

Jika anda menghasilkan produk anda dan ingin membungkusnya menggunakan 'plastic tray' sebelum di pek ke dalam plastik jernih atau plastik bercorak, kami menjual 'plastic tray' tersebut dengan harga dibawah

Kurang dari 1000 unit - RM0.20sen satu tray
Lebih dari 2000 unit - RM0.17sen satu tray

Khamis, 2008 April 03

Kursus Benih Cima Agro dan JPM Putrajaya 17 & 18 Mei 2008



Anda berminat untuk mengikuti kursus benih? Cima Agro akan mengadakan kursus benih pada 17 Mei dan 18 Mei (2 hari). Kursus ini akan dijayakan dengan kerjasama Jabatan Pertanian Putrajaya. Yuran Kursus adalah RM750.00. Makan tengahari dan minum petang, nota, sijil, peralatan asas keperluan membuat benih akan di berikan.



Tarikh tutup 10 Mei 2008.





(Sebahagian daripada jumlah kutipan bayaran kursus akan digunakan untuk menyara yuran anak anak tahfiz)



Rabu, 2008 April 02

Fakta Tentang Benih Cendawan



Ramai yang berkeinginan untuk menghasilkan benih sendiri jika mengetahui kaedahnya. Masalah mendapatkan bekalan benih menambahkan lagi niat ini.

Selain faktor sukar mendapat bekalan benih, faktor dibawah juga antara sebab mengapa setiap penanam perlu menghasilkan benih sendiri.
  1. Pastikan bekalan sedia ada untuk kegunaan sendiri
  2. Pastikan kualiti benih yang dihasilkan adalah bebas penyakit
  3. Pastikan kualiti benih adalah terbaik.
  4. Mengetahui sendiri benih disimpan dalam peti sejuk atau tidak.
  5. Menjimatkan kos dalam jangkamasa panjang

Ada penyakit yang asalnya dari benih. Ini terjadi jika kita membeli dari mereka yang menjual benih secara komersil dimana kadang-kadang tidak berkesempatan untuk memeriksa satu-satu benih mereka. Lebih-lebih lagi benih tersebut diserahkan kepada pekerja mereka sahaja untuk membuatnya. Benih perlu diperiksa sebelum mycelliumnya penuh menutupi penyakit yang ada. Jika putih myceliumnya sudah penuh, tiada siapa dapat mengesan penyakit hijau atau hitam atau lain-lain yang ditutupinya. Jika kebetulan kita menggunakannya, habislah beg media kita untuk batch tersebut.

Ada juga yang membuat benih dengan banyak tetapi tak disangka, permintaan adalah kurang. Maka mereka akan menyimpan benih-benih ini dalam peti sejuk. Kadang-kadang untuk waktu yang lama. Disimpan sehinggalah ada orang yang membelinya. Benih yang disimpan dalam peti sejuk, diibaratkan seperti 'telah ditidurkan'. Ia kurang aktif dan lambat perjalanan myceliumnya berbanding dengan benih 'jadi-terus-guna'

Selain dari itu, kemampuan membuat benih sendiri, tidak bergantung pada orang lain, menjurus kepada kos di jimatkan dalam jangka masa panjang.

Contohnya seorang penanaman menggunakan 50 beg benih @ RM4/beg untuk seminggu. Bermakna RM200 seminggu untuk benih. Kalau sebulan dah RM800!

Harga kos gandum untuk membuat benih sebanyak kegunaan sebulan diatas tak sampai RM200!

Fakta Cendawan 'Tahukah Anda' Bulan April-Mei..

  1. Tahukah anda Jabatan Statistik merekodkan bahawa impot cendawan dari luar negara hingga Disember 2007 melebihi 50juta.
  2. Tahukah anda penanaman cendawan yang tersenarai dalam bancian yang dijalankan oleh Jabatan Pertanian Putrajaya pada akhir 2007 diseluruh Malaysia adalah 390 dengan pengeluaran dianggarkan 17,435kg/hari.
  3. Tahukah anda jika cendawan segar yang telah dipetik berada pada suhu 35C-40C selama kurang 24 jam berkemungkinan besar bakteria Staphylococcusaureus akan membiak dan menghasilkan enterotoxin yang menyebabkan kekejangan, sakit perut, pening, muntah-muntah dan ceret beret kepada pengguna.

Cendawan Segar Cima Agro..


Hasil cendawan yang keluar di rak yang di buka 'cap' nya 4 hari lepas. Bagusnya bidang cendawan ni, ia boleh di program - programkan nak berapa kilo sehari. Di Cima Agro, kami programkan supaya ia keluar 200kg -250kg sehari. Waktu cuti umum pun kami buka.



Seronok setiap kali melihat cendawan yang belum dipetik di rumah - rumah hasil Cima Agro setiap pagi. Selalu juga dapat melihat sporanya dibebaskan dari bawah jaluran insangnya. Ini membuatkan seolah-olah suasana pagi yang berkabus...




Bakul bakul yang berisi penuh dengan hasil cendawan yang dikutip dari rumah rumah hasil kami dikumpulkan disini sebelum dibawa ke tempat timbang dan pembungkusan. Kami mengamalkan 2 kali petik setiap hari iaitu sekali pagi dan sekali petang. Gambar ni diambil waktu petik pagi.


Bungkus cepat.. Lori dah nak bertolak tu..! Tempahan diterima dari pasaraya-pasaraya 2-3 hari sebelumnya.

Keluarga Cima Agro Sdn Bhd









Warna Korporat Cima Agro adalah biru. Mungkin kerana biru itu tenang, biru itu lambang laut yang berkait rapat dengan kedudukan kami dengan sungai/laut Kuala Selangor hingga ia di pilih. (tapi rahsia sebenarnya adalah kerana saya menyukai warna biru!). Apapun, itulah warna baju uniform atau seragam ahli keluarga Cima Agro seperti yang anda lihat pada gambar yang saya paparkan ini.